Pemandu e-hailing disaran jadi mata dan telinga polis, elak bincang isu sensitif

KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing disaran memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan segera melaporkan sebarang kejadian yang berpotensi mengancam ketenteraman awam, termasuk kenyataan berunsur provokasi membabitkan agama dan kaum.
Gesaan itu disuarakan Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) susulan laporan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang penumpang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina al-Quran dan agama Islam.
LEAD Malaysia berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada PDRM dan berharap semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh.
Menurut pertubuhan itu, komuniti pemandu e-hailing mempunyai kedudukan yang unik kerana sentiasa berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mampu membantu pihak berkuasa mengesan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keamanan awam.
“Jika berdepan kejadian yang mempunyai unsur jenayah atau berpotensi menggugat ketenteraman awam, pemandu disaran mengumpulkan maklumat yang bersesuaian sebelum menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran yang sah dengan kadar segera.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja membantu siasatan, malah menyumbang kepada usaha memelihara keharmonian masyarakat serta menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Pada masa sama, LEAD Malaysia mengingatkan pemandu supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbualan atau perdebatan berkaitan agama, kaum, politik serta isu-isu sensitif bersama penumpang.
Menurutnya, keutamaan pemandu adalah memastikan perjalanan berlangsung dengan selamat dan profesional tanpa dipengaruhi sebarang provokasi.
Sekiranya berhadapan penumpang yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama atau kaum, pemandu disaran supaya kekal tenang, tidak melayan provokasi dan segera melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, LEAD Malaysia berpandangan insiden berkenaan turut memperlihatkan keperluan memperkukuh aspek keselamatan digital dalam industri e-hailing.
Sehubungan itu, pertubuhan tersebut mencadangkan supaya semua Pengendali E-Hailing (E-Hailing Operators, EHO) mewajibkan penggunaan ciri rakaman audio automatik sepanjang perjalanan.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mampu membantu siasatan pihak berkuasa sekiranya berlaku insiden, malah dapat melindungi pemandu dan penumpang serta meningkatkan tahap akauntabiliti dalam industri e-hailing.
LEAD Malaysia berkata, profesionalisme pemandu bukan hanya dinilai melalui kualiti perkhidmatan, malah keupayaan mereka mengendalikan situasi mencabar secara berhemah tanpa menjejaskan keselamatan diri, penumpang dan keharmonian masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
