PRN Negeri Sembilan: 401 pusat undi ditutup jam 6 petang

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berakhir secara rasmi selepas kesemua 401 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat jam 6 petang hari ini.
Setakat jam 4 petang, sebanyak 65.38 peratus atau lebih 562,133 orang daripada keseluruhan 859,760 pemilih biasa telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN kali ini mampu mencecah hingga 72 hingga 75 peratus, dengan keputusan awal dijangka diperoleh seawal 10 malam ini.
Sementara itu, pengiraan kertas undi awal dan biasa yang dikeluarkan kepada individu yang layak mengundi juga telah bermula petang ini.
Proses pengiraan yang bermula pada jam 6 petang itu dilaksanakan oleh pegawai SPR, dengan disaksikan wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding, di lapan pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh negeri.
Kini, tumpuan seluruh negara pastinya terarah kepada keputusan 103 calon bertanding yang berjaya mendapat mandat rakyat.
Dalam pada itu, bagi memastikan ketelusan proses demokrasi, pembukaan sampul undi pos telah bermula dan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook rasmi SPR.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing menampilkan seorang calon. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
