PRN Negeri Sembilan: Warga emas 88 tahun sanggup naik teksi pergi mengundi

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas berusia 88 tahun sanggup menaiki teksi bersendirian ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said di sini bagi menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
M Krishnama berkata, kesukaran untuknya bergerak kerana tidak mempunyai pengangkutan bukan alasan untuknya tidak datang mengundi.
"Saya tinggal seorang dan tiada kereta, sebab itu saya datang naik teksi. Anak-anak pula tinggal di tempat lain.
"Sebelum ini saya pemegang kad pengenalan merah. Selepas menunggu lama, akhirnya saya memperoleh kad pengenalan biru ketika berusia 75 tahun dan ini merupakan kali kedua saya mengundi," katanya yang berasal dari luar negara.

Menurutnya, mengundi merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh setiap rakyat Malaysia, justeru bukan alasan untuk mengabaikannya.
Warga emas itu berkata, walaupun proses untuk mendapat kad pengenalan mengambil masa yang lama, namun dia tidak pernah berputus asa dan amat menghargai peluang yang diberikan dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Jadi, apabila tiba waktu pilihan raya, saya wajib keluar mengundi.
"Tidak mengapa susah sedikit demi negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

