PRN Negeri Sembilan: Warga emas dominasi pengundian awal - SPR

SEREMBAN – Golongan warga emas dilihat lebih awal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 berbanding pengundi muda, sekali gus menjadi antara penyumbang kepada kadar peratusan keluar mengundi yang memberangsangkan pada sebelah pagi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setakat jam 11 pagi, kadar keluar mengundi telah mencecah 28.11 peratus selepas semua 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka serentak pada jam 8 pagi.
Menurutnya, berdasarkan tinjauan di beberapa pusat mengundi sekitar Seremban, kehadiran warga emas lebih ketara berbanding golongan muda.
"Kita dapati warga emas lebih ramai keluar mengundi berbanding orang muda. Jadi saya harap orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi.
"Kerana kita menjangkakan pada petang ini cuaca tidak begitu baik. Mengikut ramalan, hanya Port Dickson dijangka mempunyai cuaca yang baik sehingga petang, manakala daerah lain berkemungkinan mengalami hujan," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato' Klana Petra Maamor di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, orang ramai disaran memanfaatkan keadaan cuaca yang masih baik pada sebelah pagi bagi mengelakkan sebarang kesulitan sekiranya hujan berlaku pada sebelah petang.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, SPR tetap optimis sasaran kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus mampu dicapai berdasarkan persaingan yang sengit sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.
"Kita menjangkakan keadaan tersebut boleh kita capai. Sepanjang tempoh berkempen kita melihat persaingan yang sengit dalam kalangan parti-parti yang bertanding.
"Kita percaya semua parti telah mengambil inisiatif untuk membawa penyokong keluar mengundi seramai mungkin. Kita juga melihat mood pengundi amat baik dan ramai berminat untuk mengambil bahagian," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan SPR turut melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik (OCR) di tujuh saluran mengundi di sekolah berkenaan bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi digital dalam merekodkan kehadiran pengundi.
Menurutnya, projek rintis itu hanya melibatkan proses perekodan kehadiran pengundi menggunakan kad pengenalan dan tidak memberi kesan terhadap proses pengundian, selain hasil pelaksanaannya akan diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat selepas sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
