Setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada penerokaan, pencerobohan haram - Sultan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan setiap inci tanah negeri wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk penerokaan, pencerobohan atau penguasaan tanah secara haram.
Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam soal kedaulatan tanah dan maruah Pahang, baginda tetap berpendirian undang-undang perlu ditegakkan tanpa gentar, pilih kasih dan kompromi.
"Ini kerana apabila undang-undang mula dipilih-pilih untuk dilaksanakan, ketika itulah keadilan mula kehilangan maknanya dan apabila keadilan rebah, maruah sesebuah negeri turut runtuh bersamanya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini pada Sabtu.
Yang turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tular di media sosial atau naratif yang sengaja dibentuk bagi membangkitkan sentimen tertentu.
"Lebih mendukacitakan apabila terdapat segelintir pihak sanggup menjadi api dalam sekam, kelihatan seolah-olah memperjuangkan nasib rakyat tetapi hakikatnya mengeruhkan keadaan, menggalakkan penerokaan haram dan mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang berlaku.
"Ada yang berselindung di sebalik nama pertubuhan (atau) pentas politik, malah tidak terkecuali mereka yang menggunakan kedudukan dan pengaruh tertentu untuk mencampuri urusan penguatkuasaan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, perbuatan begitu bukan suatu perjuangan, sebaliknya pengkhianatan terhadap kepentingan negeri dan keluhuran undang-undang.
"Sesiapa menghasut rakyat supaya melanggar undang-undang, menjadi pelindung kepada penceroboh, menyebarkan fakta mengelirukan atau sengaja mengapi-apikan keadaan demi kepentingan tertentu hendaklah disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah sehingga kini, lebih 1.59 juta hektar atau 44 peratus keluasan Pahang kekal sebagai hutan simpanan kekal selain kawasan baharu turut diwartakan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan.
"Namun, usaha mempertahankan hutan bukan tanggungjawab yang murah. Pahang menanggung pengorbanan besar apabila memilih untuk mengekalkan kawasan hutan yang luas demi kepentingan negara dan generasi akan datang.
"Justeru, beta berpandangan usaha pemuliharaan ini wajar terus mendapat sokongan yang lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan melalui mekanisme Ecological Fiscal Transfer termasuk dalam bentuk peruntukan kewangan yang bersesuaian,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Pahang turut mengingatkan semua Orang Besar dan kerabat diraja untuk sentiasa memelihara nama baik institusi itu.
Pada istiadat sama, baginda mengumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohammad Nizar Mohammad Najib sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang yang baharu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
