Jenazah tiga maut di Gua Musang selamat dikebumi

KOTA BHARU - Jenazah tiga individu yang maut termasuk dua beranak yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk, Jumaat, selamat dikebumikan hari ini.
Jenazah pemandu Perodua Myvi, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong, Melor di sini pada 8.30 pagi tadi.

Dua beranak yang juga penumpang Perodua Myvi itu, iaitu ibu tunggal Maria Yusoff, 42, dan anak bongsunya, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, pula dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melor Lama, di sini pada 10.30 pagi.
Kemalangan kira-kira 7 pagi itu berlaku apabila kenderaan dipandu Muhamad Syazwan Hakimi yang dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler.

Dalam kejadian itu, anak sulung Maria, iaitu Nur Balqis Abli, 21, mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
