Lewat daftar cap dagangan jejaskan peluang tembusi pasaran global

SHAH ALAM - Kelewatan mendaftarkan cap dagangan boleh menyebabkan usahawan kehilangan hak terhadap jenama sendiri, sekali gus menjejaskan peluang mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Pengasas dan Pengarah Urusan JCIP International, Joyi Cheah berkata, kebanyakan negara mengamalkan sistem first-to-file iaitu hak eksklusif terhadap sesuatu cap dagangan lazimnya diberikan kepada pihak yang terlebih dahulu mendaftarkannya.
"Perlindungan harta intelek seharusnya dirancang seiring strategi pertumbuhan syarikat dan bukannya hanya diberi perhatian apabila masalah sudah berlaku.
"Kami mahu perniagaan memikirkan tentang harta intelek sebelum menghadapi masalah. Lebih awal seseorang pengasas memahami strategi cap dagangan, lebih banyak pilihan yang mereka miliki,” katanya.
Joyi turut mengingatkan usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merancang mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa supaya memberi perhatian terhadap perlindungan jenama dan cap dagangan bagi mengelakkan risiko pertikaian undang-undang serta kerugian pada masa depan.
Beliau menjelaskan, perlindungan harta intelek kini bukan lagi sekadar memenuhi keperluan perundangan, sebaliknya menjadi antara aset strategik yang mampu meningkatkan nilai syarikat, menarik pelabur dan memperkukuh daya saing dalam pasaran global.
"Masih ramai pemilik perniagaan hanya mengambil langkah melindungi cap dagangan selepas berdepan masalah seperti jenama didaftarkan pihak lain di luar negara atau menerima tuntutan pelanggaran hak.
"Situasi itu boleh menjejaskan rancangan pengembangan perniagaan, selain menyebabkan syarikat menanggung kos tinggi untuk penjenamaan semula serta proses perundangan," ujarnya.
Dalam pada itu Joyi berkata, kesedaran mengenai kepentingan harta intelek dalam kalangan usahawan perlu dipertingkatkan memandangkan jenama yang kukuh menjadi faktor penting dalam menarik pelaburan, mengembangkan francais dan meningkatkan nilai syarikat.
Sehubungan itu menurutnya, pelbagai program pendidikan dan perkongsian ilmu berkaitan strategi perlindungan jenama serta harta intelek perlu diperluaskan supaya lebih ramai usahawan memahami risiko dan peluang yang wujud apabila memasuki pasaran antarabangsa.
"Dalam landskap perniagaan yang semakin kompetitif, perlindungan cap dagangan bukan lagi dilihat sebagai satu formaliti undang-undang, sebaliknya menjadi langkah penting bagi memastikan jenama yang dibina dapat berkembang secara mampan serta dilindungi merentasi sempadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

