SkyWorld tembusi pasaran Vietnam dengan projek SkySOLIS

SKYWORLD Development Berhad (SkyWorld) melakar satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan serantaunya menerusi majlis pecah tanah SkySOLIS, projek pembangunan kediaman pertama syarikat itu di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Projek tersebut menandakan kemasukan rasmi SkyWorld ke pasaran hartanah Vietnam dan menjadi pencapaian antarabangsa pertama di bawah pelan hala tuju strategik jangka panjang SkyWorld 2040 yang baru diperkenalkan, dengan sasaran muncul sebagai antara 30 pemaju hartanah terbaik di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Berhad, Lee Chee Seng berkata, SkySOLIS bukan sekadar projek pertama di Vietnam, malah merupakan langkah pertama dalam membangun SkyWorld sebagai pemaju hartanah serantau.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan kami membawa model pembangunan yang telah terbukti berjaya ke luar Malaysia, berteraskan kualiti, inovasi dan pelaksanaan yang berdisiplin.
“Seiring kemajuan pelan hala tuju SkyWorld 2040, kami kekal komited membangunkan komuniti mampan yang mampu memberikan nilai jangka panjang, di samping mengukuhkan kehadiran kami di seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terletak di kawasan Lai Thieu Ward yang pesat membangun, SkySOLIS direka bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap kediaman bandar berkualiti, di samping menyumbang kepada landskap pembangunan kediaman bandar itu yang terus berkembang.
Pada masa sama, projek berkenaan mengintegrasikan falsafah Healthy Home yang memenangi pelbagai anugerah, dengan memberi penekanan kepada pengudaraan semula jadi, pencahayaan yang mencukupi, ruang hijau serta kemudahan berteraskan kesejahteraan bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih sihat dan mampan.
Tidak ketinggalan, sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap kecemerlangan pembinaan, SkyWorld akan memperkenalkan Quality Assessment System in Construction (QLASSIC) Malaysia yang dibangunkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Rangka kerja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu mengukuhkan pendekatan berdisiplin syarikat terhadap mutu kerja dan kualiti pembinaan, sekali gus memberikan jaminan lebih tinggi serta nilai jangka panjang kepada pemilik rumah, selaras dengan janji jenamanya, "You Can Now Own A Quality Home and Living."
Dalam pada itu, SkySOLIS turut akan memperkenalkan SkyWorld Connects App ke Vietnam, sekali gus memperluaskan ekosistem digital SkyWorld yang telah terbukti berjaya di Malaysia buat pertama kali ke pasaran antarabangsa.
Platform bersepadu itu membolehkan penduduk memantau kemajuan pembinaan, menerima pemberitahuan, mengurus perkhidmatan berkaitan hartanah serta membuat tempahan kemudahan bersama menerusi pengalaman mudah alih yang lancar.
Majlis pecah tanah SkySOLIS membuktikan pelaksanaan strategi pertumbuhan serantau SkyWorld dan mengukuhkan keupayaannya membawa kepakaran yang telah terbukti dalam pembinaan berkualiti, perancangan komuniti mampan serta penyelesaian kehidupan pintar ke luar Malaysia.
Sepanjang pembangunan projek itu, SkyWorld akan terus mengekalkan standard pengurusan projek yang berdisiplin, jaminan kualiti serta pematuhan peraturan yang sama seperti yang menjadi asas kepada pelbagai pembangunannya di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
