Pelajar Tingkatan Lima diberkas terlibat aksi samseng jalanan

GUA MUSANG – Seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan selepas dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dan dipercayai melakukan aksi menguji kelajuan di Jalan Persiaran Raya, di sini pada Jumaat.
Dalam Op Motosikal (Samseng Jalanan) kira-kira jam 2 pagi, motosikal ditunggangi remaja lelaki berusia 17 tahun itu terbabas ke kawasan semak ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan orang ramai mengenai kegiatan samseng jalanan yang semakin membimbangkan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, operasi melibatkan seorang pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
"Hasil pemantauan mendapati sebuah motosikal ditunggang secara berbahaya sebelum anggota polis mengarahkan penunggangnya berhenti untuk pemeriksaan.
"Bagaimanapun, suspek bertindak memecut dan melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis. Ketika cuba meloloskan diri, suspek hilang kawalan lalu terbabas ke kawasan semak sebelum berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, sebuah motosikal turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Choon Foo memberitahu, sepanjang operasi itu, polis memeriksa 22 individu serta 18 buah motosikal.
"Sebanyak 57 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk memandu tanpa lesen, kesalahan nombor pendaftaran, pengubahsuaian ekzos, cermin sisi, tiada insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM), aksesori kenderaan serta membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan," katanya.
Tegas Choon Foo, pihaknya akan terus memperhebat operasi dan penguatkuasaan khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti samseng jalanan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak agar tidak terjebak dengan kegiatan lumba haram atau menunggang motosikal tanpa lesen kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

