Operasi di R&R Gua Musang bongkar kegiatan dua pemandu bas ekspres

Polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan. Foto PDRM
Polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan. Foto PDRM
A
A
A

GUA MUSANG - Dua pemandu bas ekspres ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah dipercayai syabu dalam satu operasi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 39 dan 46 tahun itu ditahan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang ketika menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam bas menemukan dadah dipercayai jenis syabu yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

"Polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,500," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Choon Foo berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah tanpa mengira individu yang terlibat.

Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!