Pas ajak Melayu bersatu bukan benci kaum lain -Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Seruan Pas supaya orang Melayu bersatu padu bukan bermaksud membenci kaum lain sebaliknya parti itu menegaskan ia sentiasa membawa mesej perpaduan serta menghormati semua kaum dan agama di negara ini.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, seruan berkenaan juga bukanlah ajaran Islam yang menggalakkan kebencian terhadap kaum lain.
Menurutnya, Pas menghormati semua kaum dan agama serta tidak pernah mengetepikan kepentingan mana-mana masyarakat hanya kerana parti itu memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.
"Pas mengajak semua orang Melayu bersatu padu bukan bermaksud ia mesej supaya membenci kaum lain, itu bukanlah juga ajaran Islam.
"Pas menghormati semua kaum dan agama yang ada dalam negara, Pas sentiasa membawa mesej perpaduan, hanya kerana Pas bercakap tentang Melayu, bukan bererti kaum lain diketepikan, hanya kerana Pas bercakap tentang Islam, bukan bererti Pas parti yang ekstrem," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menggesa masyarakat Cina dan India supaya tidak membuat penilaian terhadap Pas berdasarkan pandangan pihak lain, sebaliknya menilai parti itu melalui penjelasan daripada pemimpin Pas sendiri.
Beliau berkata, Pas bukan sebuah parti yang ekstrem, tidak membenci kaum Cina dan India serta tidak pernah menolak perpaduan dan penyatuan dalam kalangan rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) sebelum ini merealisasikan gagasan penyatuan ummah bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mengembalikan kuasa politik orang Melayu yang disifatkannya sebagai asas kepada kestabilan politik negara.
Katanya, usaha berkenaan juga diharapkan dapat direalisasikan di Negeri Sembilan dengan sokongan semua pihak, selain mengajak pengundi Melayu-Islam bersama-sama menjayakan gagasan penyatuan ummah demi kepentingan masa depan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

