Kenderaan berat punca kesesakan

Ismadi menunjukkan antara kenderaan berat yang melalui kawasan terbabit semasa sekatan jalan raya di Batu 11 Jalan Puchong, Serdang, Selangor hari ini.
Ismadi menunjukkan antara kenderaan berat yang melalui kawasan terbabit semasa sekatan jalan raya di Batu 11 Jalan Puchong, Serdang, Selangor hari ini.
A
A
A

SERDANG - Direkodkan lebih 100 kenderaan berat bagi sektor pembinaan melalui Batu 11 Jalan Puchong menghala Shah Alam dan Putrajaya di sini, dipercayai menjadi antara punca kesesakan trafik luar biasa di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, sebelum ini, pihaknya melaksanakan empat sekatan jalan raya di seluruh daerah ini namun ia telah ditambah dua lagi sekatan jalan raya dengan keseluruhannya adalah enam.

“Dengan penguatkuasaan sekatan jalan raya, kita dapati terdapat banyak kenderaan melalui laluan ini yang sebelum ini digunakan oleh pengguna jalan raya bagi mengelak sekatan jalan raya di lokasi lain.

“Malah dianggarkan lebih 100 kenderaan berat terutama dari sektor pembinaan melalui jalan ini yang berulang alik dua hingga tiga kali menyebabkan kesesakan luar biasa berlaku semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi sekatan jalan raya di Batu 11 Jalan Puchong hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pihaknya juga masih mengesan terdapat ramai lagi orang awam mengambil kesempatan keluar rumah dengan mengemukakan alasan tidak munasabah.

Lokasi sekatan jalan raya Batu 11 Jalan Puchong, Serdang menunjukkan pertambahan kenderaan di atas jalan raya walaupun tempoh PKP masih diperketat.
Lokasi sekatan jalan raya Batu 11 Jalan Puchong, Serdang menunjukkan pertambahan kenderaan di atas jalan raya walaupun tempoh PKP masih diperketat.

Katanya, antara alasan itu adalah mahu membeli makanan di restoran pilihan yang berada di luar kawasan radius 10 kilometer dari tempat tinggal mereka sekaligus menyebabkan pertambahan kenderaan di atas jalan hingga menyebabkan kesesakan beberapa kilometer di laluan utama.

Dalam perkembangan lain, sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac sehingga 14 April, seramai 196 individu ditahan dan 143 kompaun dikeluarkan terhadap mereka yang ingkar arahan terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai langkah perketatkan arahan PKP, kita telah menutup empat laluan iaitu Batu 7 Jalan Puchong menghala ke Jalan Klang Lama, Jalan Persiaran Puncak Jalil ke Bukit Jalil, Jalan Serindit di Puchong Jaya ke Taman Wawasan dan Jalan Layang-Layang menuju ke Lebuhraya Damansara-Punchong (LDP) yang ditutup di kedua-dua arah.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya kekal berada di rumah kerana tindakan lebih tegas akan diambil pada PKP fasa ketiga ketika ini iaitu tangkap, direman dan dituduh di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang ingkar PKP termasuk tindakan keluar rumah tanpa alasan munasabah.