Semakan pengampunan Najib: Keputusan rayuan Badan Peguam pada tarikh lain

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan Badan Peguam Malaysia di Mahkamah Rayuan sini pada Jumaat, untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan ditetapkan pada tarikh lain.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Lim Chong Fong memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.

Dalam prosiding berkenaan, peguam, Datuk Yeo Yang Poh dan Zainur Zakaria hadir bagi pihak Badan Peguam sementara Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili Peguam Negara (AG) dan Najib, 73, diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Semasa prosiding, Chong Fong berkata, mahkamah memerlukan masa untuk berbincang.

“Kami telah menetapkan 7 Ogos depan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan tersebut," katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Leonard David Shim.

Pada 11 November 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, permohonan itu di luar bidang kuasa mahkamah dan bersifat remeh.

Beliau berpendapat, keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan merupakan sebahagian daripada proses bersepadu yang membawa kepada pemberian pengampunan.

Pada 26 April 2024, Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Artikel Berkaitan:

Badan Peguam memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun sama berhubung permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya.

Ia menyaksikan bekas ahli politik itu dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, sebagai tidak sah, tidak berperlembagaan dan terbatal.

Badan itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda juga tidak sah, tidak berperlembagaan dan terbatal.

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Semasa hujahan, Yang Poh selaku perayu berkata, keputusan Lembaga Pengampunan boleh dipertikaikan secara kehakiman kerana permohonan semakan kehakiman bukanlah untuk menyemak semula kuasa Yang di-Pertuan Agong sebaliknya mencabar keputusan Lembaga Pengampunan.

“Penting bagi kami mendapatkan kebenaran di peringkat ini malah perkara yang dibawa oleh perayu bukanlah suatu yang remeh,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hanir berhujah bahawa Mahkamah Tinggi bertindak dengan tepat dalam memutuskan bahawa permohonan perayu tidak boleh dijustifikasikan dan remeh.

Beliau berkata prerogatif belas kasihan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak terdedah kepada semakan kehakiman.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!