Bekalan PPE di Kelantan cukup

Dr Zaini (kiri) menerima bungkusan PPE yang disampaikan oleh Samsuri di sini hari ini.
Dr Zaini (kiri) menerima bungkusan PPE yang disampaikan oleh Samsuri di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan setakat ini, bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini masih mencukupi.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepanjang tempoh ini sememangnya penggunaan PPE meningkat berbanding hari biasa tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menghantar stok kepada negeri untuk memastikan bekalan tidak terputus.

Menurutnya, selain dibekalkan KKM, pihaknya juga menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan dan juga individu-individu tertentu kerana mereka menyedari kepentingan PPE untuk kegunaan barisan hadapan.

“Keperluan PPE dari semasa ke semasa tentulah ada tetapi kita mempunyai stok yang boleh digunakan. Dengan bantuan daripada semua pihak insya-ALLAH kita dapat menangani masalah kekurangan PPE.

“Untuk PPE ini banyak itemnya, antaranya topeng muka, alat pelindung muka dan juga surgery gown yang digunakan di hospital, klinik-klinik dan makmal. Paling penting sekarang ini stok tidak putus dan KKM juga sentiasa hantar bekalan,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menerima sumbangan PPE daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia dan Rehda Care Kelantan yang disampaikan Pengerusi Rehda Care Kelantan, Datuk Samsuri Awang Kompleks Kota Darul Naim.

Sebagai khidmat sosial kumpulan tersebut, Dr Zaini menerima 10,000 topeng muka dan 1,000 set PPE yang mana ia adalah sebahagian daripada nilai barangan berjumlah RM50,000 diserahkan kepada kerajaan Kelantan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar dan Bekas Pengerusi Rehda Kelantan, Datuk Sekarnor Che Omar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Dr Zaini berkata, beliau terbuka untuk menerima sumbangan PPE daripada pelbagai pihak memandangkan wabak Covid-19 ini masih belum lagi berakhir.

Dalam pada itu, untuk perkembangan semasa Covid-19 di Kelantan, secara kumulatifnya seramai 154 orang dilaporkan positif yang mana daripada jumlah itu 132 pesakit telah pulih dan tiga kematian.

“Trend ini sebagaimana di peringkat nasional menunjukkan penurunan. Jadi untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini kita memerlukan sokongan daripada seluruh masyarakat untuk putuskan rangkaian Covid-19.

“Patuhi PKP dengan duduk di rumah, kerap membasuh tangan dengan sabun, jaga kebersihan diri dan jarak sosial. Insya-ALLAH dengan sumbangan semua kita dapat memutuskan rangkaian wabak ini dan sama-sama doakan ia berakhir dengan cepat,” katanya.