Operasi roboh 119 premis di Kampung Chubadak Tambahan selesai

KUALA LUMPUR – Operasi merobohkan sebanyak 119 premis di Kampung Chubadak Tambahan Mukim Setapak Sentul di sini selesai dilaksanakan dengan keadaan terkawal dan tanpa sebarang gangguan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, operasi itu merupakan kesinambungan Op Roboh Fasa Dua selepas fasa pertama dilaksanakan pada Januari lalu yang melibatkan 69 rumah di kawasan sama.
"Sebelum operasi dijalankan, Mahkamah telah selesai menyerahkan notis pengosongan kepada pemilik premis pada 16 Julai lalu dengan tempoh diberikan sehingga Khamis untuk mengosongkan kawasan berkenaan.
"Sehingga jam 2 petang, keseluruhan 119 premis dalam zon operasi berjaya dirobohkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Basri berkata, sepanjang operasi berlangsung, tiada kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mencetuskan sebarang gangguan.
"Keadaan di lokasi juga berada dalam keadaan terkawal dan operasi berjalan lancar di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, polis menegaskan proses pengosongan tapak dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Kita komited memastikan keselamatan awam, ketenteraman serta kelancaran setiap operasi penguatkuasaan demi kepentingan semua pihak.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 atau balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
