Arahan tangkap penagih setiap hari di Kelantan berdasarkan situasi - Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM– Arahan Ketua Polis Kelantan supaya setiap ketua balai polis di negeri itu menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari adalah berdasarkan situasi dan tahap serius penyalahgunaan dadah yang sedang dihadapi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat perlu dilihat berdasarkan realiti semasa di negeri itu.

Menurutnya, tindakan lebih agresif berkenaan adalah sejajar dengan keperluan membendung masalah dadah daripada terus berleluasa.

“Di Kelantan hampir tidak ada kampung yang terlepas daripada masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang adalah jajahan yang mencatatkan angka mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan itu sebagai serius,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat, Kedah Sejahtera yang dirasmikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Yusoff mengarahkan semua 56 ketua balai polis di Kelantan supaya menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari menerusi pelan strategik baharu membanteras penyalahgunaan dadah yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu.

Jelas Saifuddin, tahap serius ancaman dadah di Kelantan turut dapat dilihat menerusi komposisi penghuni penjara di negeri itu, khususnya di Penjara Pengkalan Chepa.

Katanya, daripada setiap 100 penghuni penjara berkenaan, kira-kira 75 orang membabitkan kesalahan berkaitan dadah sama ada di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan atau Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah.

“Satu lagi penjara ialah Penjara Machang yang bukan penjara reman, sebaliknya penjara sabitan. Daripada setiap 100 penghuninya, boleh dikatakan 95 orang adalah berkaitan masalah dadah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurutnya, pelaksanaan pendekatan sama di negeri-negeri lain bergantung kepada penilaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

“JSJN akan membuat keputusan. Mereka mempunyai pemetaan, pemprofilan dan semua maklumat yang diperlukan untuk menentukan tindakan seterusnya, sama ada mereka mahu mencontohi pendekatan Kelantan atau mengekalkan keadaan sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, Kedah turut terus berdepan ancaman serius penyalahgunaan dadah apabila sebanyak 11,524 kes direkodkan sepanjang suku pertama tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan enam peratus berbanding 12,259 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kedudukan Kedah yang berkongsi kira-kira 100 kilometer sempadan darat dengan Thailand menjadikan negeri itu berisiko tinggi sebagai laluan kemasukan dadah ke negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!