Berita buruk kepada pemandu mabuk

Kerajaan bakal memperkenalkan peruntukan tambahan kepada undang-undang sedia ada kepada pemandu-pemandu mabuk, penagih dadah, pemandu cuai dan lain-lain kesalahan.
Kerajaan bakal memperkenalkan peruntukan tambahan kepada undang-undang sedia ada kepada pemandu-pemandu mabuk, penagih dadah, pemandu cuai dan lain-lain kesalahan.
A
A
A

INI adalah satu berita buruk kepada pemandu-pemandu mabuk, penagih dadah, pemandu cuai dan lain-lain kesalahan apabila kerajaan bakal memperkenalkan peruntukan tambahan kepada undang-undang sedia ada.

Mana-mana individu yang didapati bersalah perlu membayar pampasan kepada mangsa atau waris, menerusi pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pada ketika ini kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan akan memanggil pihak-pihak berkepentingan dengan mengadakan sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan, industri insurans serta pihak berkepentingan lain bagi memperincikan mekanisme pelaksanaannya.

Memang sudah sampai masanya untuk Malaysia mewujudkan undang-undang tersebut supaya memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah jalan raya yang menyebabkan mangsa terkesan atau meninggal dunia.

Bagaimanapun, pasti ada pihak yang akan mengatakan wang tidak akan dapat menggantikan nyawa yang telah hilang meningggalkan mereka yang tersayang.

Namun kita harus ada rasa empati terutama bagi ahli keluarga mangsa yang turut kehilangan tempat bergantung.

Mangsa mungkin seorang ayah yang ada keluarga perlu disara atau seorang anak yang perlu mencari rezeki membantu ibu bapanya.

Berbalik kepada pemberian pampasan, ada banyak negara mempunyai mekanisme yang membolehkan mahkamah mengarahkan pesalah jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga.

Perbezaannya ialah bentuk pelaksanaan dan sama ada pampasan itu dibuat melalui prosiding jenayah, tuntutan sivil atau gabungan kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Antara contoh di United Kingdom apabila mahkamah boleh mengeluarkan Compensation Order yang mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa bagi kecederaan, kerugian atau kerosakan harta. Perintah ini boleh dibuat selain hukuman penjara atau denda.

Di Australia pula bergantung kepada negeri, mahkamah boleh mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa. Selain itu, mangsa juga boleh membuat tuntutan melalui skim insurans kemalangan jalan raya atau saman sivil.

Singapura pula menetapkan mahkamah mempunyai kuasa mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa dalam kes tertentu, di samping hukuman jenayah. Mangsa juga boleh memfailkan tuntutan sivil.

Bagi Kanada, mahkamah boleh mengeluarkan Restitution Order untuk mengganti kerugian kewangan mangsa akibat kesalahan jenayah, termasuk dalam kes kemalangan jalan raya yang serius.

Dan di Jerman, mangsa boleh menuntut pampasan melalui tindakan sivil dan dalam keadaan tertentu tuntutan boleh digabungkan dengan prosiding jenayah, sekali gus mengurangkan keperluan memfailkan saman berasingan.

Jadi, apa yang Malaysia cadangkan ketika ini bukan sesuatu yang baharu di peringkat antarabangsa.

Cadangan Kementerian Pengangkutan ialah memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan jalan raya serius membayar pampasan kepada mangsa atau waris, selain hukuman penjara, denda atau hilang kelayakan memandu.

Mahkamah akan mengambil kira faktor seperti tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami mangsa dan kemampuan pesalah untuk membayar.

Perbezaan utama antara negara ialah sumber pampasan. Bagi sesetengah negara bergantung kepada insurans wajib kenderaan untuk bayar mangsa dengan cepat.

Ada yang memberi kuasa terus kepada mahkamah jenayah untuk mengarahkan pesalah membayar pampasan. Ada juga yang menggabungkan kedua-dua mekanisme supaya mangsa menerima pampasan melalui insurans terlebih dahulu, manakala pesalah masih boleh diarahkan membayar pampasan tambahan jika sesuai.

Justeru, trend di banyak negara ialah hukuman jenayah sahaja tidak dianggap mencukupi, sebaliknya pesalah juga dipertanggungjawabkan terhadap kerugian yang dialami mangsa atau keluarga mangsa.

Cuma yang perlu diberi perhatian ialah memastikan tiada ruang yang membolehkan pesalah terlepas daripada tanggungjawab mereka membayar pampasan terutama bagi pesalah yang tiada lesen memandu dan masih muda. Mereka tiada pelindungan insurans dan tiada sumber kewangan.

Mungkin satu perkara yang boleh dimasukkan dalam peruntukan undang-undang itu nanti ialah ibu bapa juga boleh dipertanggungjawabkan terhadap tuntutan pampasan.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!