Tragedi dua pelajar di flat usang jadi titik tolak tangani premis terbiar

Laporan Sinar Harian berhubung tragedi kematian dua pelajar di flat usang di Buntong, Perak.
Laporan Sinar Harian berhubung tragedi kematian dua pelajar di flat usang di Buntong, Perak.
A
A
A

KEMATIAN dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditemukan berhampiran sebuah bangunan kosong di kawasan Buntong, Ipoh pada Jumaat bukan sekadar satu tragedi yang meruntun hati, malah membuka semula persoalan mengenai pengurusan flat dan bangunan usang yang semakin terbiar di kawasan bandar.

Kedua-dua mangsa merupakan rakan baik dan belajar di sekolah yang sama pada sesi petang. Kejadian itu disedari selepas seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan menemui mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Insiden ini sekali lagi menonjolkan risiko kewujudan bangunan kosong dan flat usang yang gagal dipantau secara berkesan.

Premis seperti ini lazimnya menjadi lokasi tersembunyi yang mudah dimasuki tanpa kawalan, sekali gus berpotensi disalahgunakan untuk aktiviti penagihan dadah, jenayah, vandalisme dan pelbagai gejala sosial.

Hakikatnya, banyak flat lama yang sebahagiannya telah ditinggalkan akibat perpindahan penduduk atau projek pembangunan baharu akhirnya bertukar menjadi 'kawasan mati', sehingga tiada pagar keselamatan yang sempurna serta pintu dan tingkap dipecahkan.

Keadaan ini bukan sahaja mengundang penagih dadah, malah menarik golongan remaja yang ingin mencuba sesuatu atau melepak tanpa menyedari bahaya yang menanti.

Isu bangunan usang bukan lagi sekadar soal nilai hartanah atau landskap bandar. Sebaliknya, ia kini berkait rapat dengan aspek keselamatan awam.

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menutup sepenuhnya semua laluan masuk ke bangunan kosong menggunakan pagar keselamatan yang kukuh.

Selain itu, rondaan berkala oleh pengawal keselamatan atau penguat kuasa perlu dilaksanakan, terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko. Operasi bersepadu secara berkala juga wajar dijalankan dengan melibatkan polis, pihak berkuasa tempatan dan Agensi Antidadah Kebangsaan di lokasi yang sering menjadi tumpuan penagih.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan proses pembangunan semula kawasan mati tersebut.

Dalam masa yang sama, masyarakat setempat juga mempunyai peranan penting. Sebarang aktiviti mencurigakan di bangunan kosong perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa sebelum ia bertukar menjadi lokasi jenayah yang sukar dikawal.

Insiden yang mengorbankan dua remaja ini sewajarnya menjadi titik perubahan kepada pendekatan pengurusan bangunan usang di negara ini.

Langkah pencegahan perlu dilaksanakan sebelum sesuatu tragedi berlaku, bukannya hanya selepas ia meragut nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!