Nelson dakwa pernah cederakan diri sendiri akibat tekanan hidup

Mohammad Yaakub (kiri) bersama Nelson yang kini tinggal di MADAD dan membantu melatih pasukan bola sepak pelajar dengan bayaran yang diperoleh hasil kutipan ibu bapa.
Mohammad Yaakub (kiri) bersama Nelson yang kini tinggal di MADAD dan membantu melatih pasukan bola sepak pelajar dengan bayaran yang diperoleh hasil kutipan ibu bapa.
A
A
A

ALOR SETAR – Bekas pemain import legenda Kedah, Nelson San Martin mendakwa pernah cuba mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup yang dihadapinya selepas berdepan masalah kewangan termasuk tunggakan gaji serta kegagalan menyara keluarga.

Perkara itu didedahkan Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra menerusi hantaran di Facebook pada Khamis selepas bertemu bekas pemain kelahiran Chile berkenaan yang kini dibantu pusat dakwah tersebut.

Menurut Mohammad Yaakub, Nelson meluahkan keadaan yang dialaminya dalam keadaan sebak sehingga menunjukkan kesan parut pada tangannya yang didakwa berpunca daripada cubaan mencederakan diri akibat tekanan.

"Dua tahun tunggakan gaji. Anak dan isteri terpaksa menumpang tinggal di rumah orang lain. Sebagai seorang ayah dan suami, tekanan kerana gagal menyediakan keperluan keluarga amat berat untuk ditanggung," katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau berkata, Nelson sebelum ini memilih untuk datang ke Malaysia bagi membantu pembangunan bola sepak tempatan walaupun mempunyai pelbagai pilihan lain selepas mencipta kejayaan memenangi enam kejuaraan sepanjang kariernya.

Katanya, beberapa bulan lalu pihak MADAD mengambil Nelson yang ketika itu didakwa hidup sebagai gelandangan dan tidur di tepi jalan sebelum diberikan tempat tinggal serta makan minum mengikut kemampuan pertubuhan berkenaan.

"Ketika itu MADAD sendiri sedang bergelut dari segi kewangan. Kami hanya mampu menyediakan tempat tinggal dan makan minum. Nelson tidak banyak kerenah, dia makan apa sahaja yang ada," ujarnya.

Mohammad Yaakub berkata, sepanjang berada di MADAD, Nelson turut membantu melatih pasukan bola sepak pelajar dengan bayaran yang diperoleh hasil kutipan ibu bapa.

Menurutnya, hasil sentuhan bekas pemain itu, pasukan bola sepak MADAD berjaya muncul juara tiga kejohanan tahun ini dan bakal mewakili Kedah ke kejohanan peringkat kebangsaan pada September depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkongsi bahawa Nelson memaklumkan kepadanya hasrat untuk terus menetap di MADAD sambil menyifatkan pusat itu sebagai tempat yang banyak membantunya ketika berdepan kesukaran hidup.

“Semalam dia beritahu sambil menangis-nangis, nanti nak mati di MADAD saja. Siap beritahu nama Islam dia Mohamed Nelson. Dia dah lama tak minum arak dan makan babi sebab tinggal di MADAD. doakan dia dapat taufik hidayah,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau memaklumkan MADAD merancang menubuhkan sebuah akademi bola sepak yang bakal dikendalikan Nelson bagi membolehkan bekas pemain itu memperoleh pendapatan tetap menerusi kepakaran dimilikinya sebagai jurulatih berlesen.

"Kami harap akademi ini dapat memberi peluang kepada Nelson menjana pendapatan setiap bulan di samping terus menyumbang kepakaran kepada anak-anak muda," katanya.

Pada Mac lalu, media melaporkan Nelson merayu supaya tunggakan gajinya diselesaikan selepas mendakwa hanya menerima sebahagian bayaran pada 10 Januari.

Dalam hantaran di Facebook ketika itu, beliau memaklumkan masih bergelut untuk menyara kehidupan kerana tunggakan berkenaan membabitkan kontrak yang ditandatangani pada November 2025 dengan sebuah kelab tempatan, selain mendakwa masih terdapat beberapa bulan gaji terdahulu yang belum dijelaskan.

Nelson turut mendakwa tekanan kewangan yang dialaminya menyebabkan keluarganya tidak mampu membayar sewa rumah dan memenuhi keperluan asas harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!