Pemandu tersepit, kereta terbabas langgar pembahagi jalan

Keadaan kereta mangsa yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Taman Tambun Indah pada malam Rabu. - Foto: JBPM
Keadaan kereta mangsa yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Taman Tambun Indah pada malam Rabu. - Foto: JBPM
A
A
A

NIBONG TEBAL – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Bukit Tambun, Taman Tambun Indah, Simpang Ampat, di sini pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.53 malam itu, mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan pada bahagian leher dan lengan selepas tersepit di ruang pemandu kereta jenis Honda yang dipandunya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 8.04 malam dan mendapati sebuah Honda Civic terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan pemandunya tersepit.

“Komander operasi kemudian menjalankan penilaian awal situasi sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian di Taman Tambun Indah pada malam Rabu. - Foto: JBPM
Mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian di Taman Tambun Indah pada malam Rabu. - Foto: JBPM

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Bakap dengan ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.57 malam,” katanya.

Operasi menyelamat membabitkan enam anggota BBP Sungai Bakap bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!