'Tangkaplah, saya sudah tiada sesiapa' - Pengemis diselamatkan pihak berkuasa

Wanita warga Thailand (tengah) yang dipercayai duduk di kaki lima bank untuk mengemis.
Wanita warga Thailand (tengah) yang dipercayai duduk di kaki lima bank untuk mengemis.
A
A
A

KOTA BHARU - Selepas dipercayai mengemis di kaki lima sebuah bank selama empat tahun, seorang wanita warga emas dari Thailand akur apabila diselamatkan pihak berkuasa dalam Operasi Murni Bersepadu pada Rabu malam sambil mengakui dirinya sudah tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung hidup.

Wanita berusia 68 tahun itu mendakwa kehilangan suami dan anak lelaki tunggalnya yang maut dalam kemalangan, menyebabkan dia terpaksa meneruskan kehidupan bersendirian.

“Kalau nak tangkap, tangkaplah.

“Saya memang sudah tidak ada siapa-siapa,” katanya.

Dia mengakui hanya memperoleh kira-kira RM30 pada hari pada berkenaan kerana semakin ramai orang tidak menghulurkan wang sedekah seperti sebelum ini.

“Sekarang orang tidak beri sangat, hari ini dapat RM30 sahaja.

“Saya datang dari 8 malam tadi, selepas orang habis kerja. Siang tidak boleh sebab kena halau,” ujarnya.

Gelandangan yang berbaring di tempat duduk di dataran berhampiran Masjid Jamek Muhammadi.
Gelandangan yang berbaring di tempat duduk di dataran berhampiran Masjid Jamek Muhammadi.

Artikel Berkaitan:

Menurut warga emas itu, wang yang diperoleh digunakan untuk membayar keperluan harian termasuk bil air dan elektrik.

Katanya, ada individu yang membenarkannya tinggal secara percuma di sebuah bilik berhampiran stadium selepas dia tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

“Saya tidak ada keluarga. Anak seorang meninggal kemalangan, suami pun sudah tiada,” katanya.

Wanita itu berkata, dia pernah ditahan sebelum ini dan dihantar pulang ke Tak Bai, Thailand namun kembali semula kerana tidak mempunyai tempat bergantung.

“Kalau dihantar balik pun saya tidak tahu mahu pergi mana. Saya datang semula kerana tidak ada sesiapa,” katanya.

Dia turut mendakwa mengalami masalah saraf pada kaki kiri yang menyukarkannya untuk bergerak.

Sementara itu, seorang lagi warganegara sama berusia 63 tahun yang ditemui dalam operasi berkenaan mendakwa memasuki negara ini dari Pattani, Thailand pada 12 Julai lalu melalui Pengkalan Kubor.

Pihak berkuasa mendekati seorang lelaki yang tidur di kaki lima bank di Kota Bharu.
Pihak berkuasa mendekati seorang lelaki yang tidur di kaki lima bank di Kota Bharu.

Wanita terbabit menunjukkan pasportnya dan merayu supaya tidak dikenakan tindakan selain memberi alasan sudah mahu balik ke Thailand.

“Saya mahu balik Thailand esok.

“Tolonglah, sekali ini saja, saya tak kan buat lagi, saya tak tahu ini salah,” katanya.

Wanita berkenaan bagaimanapun diselamatkan bersama lapan individu lain dalam operasi pengemis dan gelandangan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!