PKP fasa 3: IPD Port Dickson tambah lokasi SJR, tutup jalan

Laluan menghala pekan Port Dickson ditutup.Gambar Kecil:Aidi Sham Mohamed
Laluan menghala pekan Port Dickson ditutup.Gambar Kecil:Aidi Sham Mohamed
A
A
A

PORT DICKSON - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menambah operasi sekatan jalan raya dan penutupan jalan bagi meningkatkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diilanjutkan bermula hari ini sehingga 28 April.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, satu penambahan operasi sekatan jalan raya diadakan di laluan arah Lukut menghala Port Dickson bermula jam 8 pagi tadi.

"Sekatan jalan raya itu diadakan 24 jam di Jalan Seremban, Lukut (hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat) dengan konsep 'joint patrol' Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Turut dilakukan pemindahan lokasi sekatan jalan raya di Kilometer 3 Jalan Pantai (hadapan TNB) ke lokasi baru iaitu di hadapan Masjid Abdullah Sijang Port Dickson," katanya satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Aidi Sham berkata, selain itu bagi menghadkan pergerakan, penutupan jalan juga dilakukan bagi memastikan tahap pematuhan PKP 100 peratus di dua di lokasi.

"Lokasi berkenaan ialah jalan bypass (dari arah Jalan Pantai ke arah Lukut) yang berhampiran lampu isyarat Al-Ikhsan dan jalan bypass (dari arah Lukut ke Jalan Pantai) berhampiran lampu isyarat Kampung Paya.

"Semua pengguna jalan raya dari kedua-dua arah perlu melalui lencongan atau laluan yang telah ditetapkan bagi tujuan memasuki Pekan Port Dickson," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara laluan yang ditutup bagi meningkatkan kepatuhan orang ramai terhadap PKP.
Antara laluan yang ditutup bagi meningkatkan kepatuhan orang ramai terhadap PKP.

Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, penduduk turut diingatkan tidak keluar rumah melainkan urusan penting dan tidak dapat dielakkan sahaja.

"Mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya atas segala arahan penguatkuasa atau petugas sekatan jalan raya selain memperlahankan kenderaan semasa melalui sekatan jalan raya bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.

"Sebarang perlanggaran pematuhan PKP ini boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 selain peruntukan undang-undang yang diperuntukkan bawah Kanun Keseksaan," katanya.