Scrut Garage sasar 100 bengkel sertai ekosistem digital sebelum September

Nik Muhammad Izwan memberi penerangan pada Majlis Pelancaran Aplikasi Scrut Garage pada Rabu. Foto: Bernama
Nik Muhammad Izwan memberi penerangan pada Majlis Pelancaran Aplikasi Scrut Garage pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

PLATFORM pemeriksaan kenderaan, Scrut Garage menyasarkan sekurang-kurangnya 100 bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif menyertai platform digitalnya menjelang pelancaran kepada pengguna pada September ini, bagi membina ekosistem pendigitalan industri servis automotif tempatan.

Dioperasikan oleh Scrut Technology Sdn Bhd, platform itu kini disertai lebih 20 syarikat, kebanyakannya milik usahawan Bumiputera, kata pengasas bersamanya Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan dibangunkan bagi menghubungkan pengguna dengan pelbagai penyedia perkhidmatan automotif, termasuk bengkel, pusat servis dan penyedia perkhidmatan berkaitan menerusi satu platform digital.

"Kami sendiri mengendalikan bengkel kenderaan sejak syarikat ini ditubuhkan pada 2017. Kami tahu apa masalah sebenar dan cabaran yang dihadapi industri ini.

"Sebab itu apabila kami membangunkan perisian dan aplikasi ini, kami lebih memahami keperluan bengkel serta mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih baik berbanding mereka yang tidak berada dalam industri ini," katanya kepada Bernama selepas pelancaran eksklusif aplikasi Scrut Garage di sini pada Rabu.

Pengasas bersama Scrut Garage dari kiri: Mus’ab Mustafha, Nik Muhammad Izwan, Aliff Ahmad dan Muadz Mustafha menunjukkan aplikasi Scrut Garage. Foto: Bernama
Pengasas bersama Scrut Garage dari kiri: Mus’ab Mustafha, Nik Muhammad Izwan, Aliff Ahmad dan Muadz Mustafha menunjukkan aplikasi Scrut Garage. Foto: Bernama

Menurutnya, sesi pelancaran itu bertujuan menggalakkan lebih banyak bengkel dan penyedia perkhidmatan automotif menyertai platform tersebut sebelum ia dilancarkan kepada pengguna, selain membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) automotif beralih kepada sistem pengurusan digital.

"Kebanyakan bengkel, khususnya bengkel kecil dan sederhana, masih tidak mempunyai sistem pengurusan digital sendiri kerana kos untuk membangunkan perisian adalah tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Melalui platform ini, mereka tidak perlu membuat pelaburan yang besar. Mereka hanya perlu menyertai ekosistem kami dan berkongsi kemudahan yang sama untuk mengurus operasi serta mendapatkan pelanggan," katanya.

Beliau berkata, penyertaan lebih banyak penyedia perkhidmatan akan membolehkan pengguna mengakses rangkaian servis yang lebih menyeluruh sebaik aplikasi itu dilancarkan kepada umum.

Scrut Garage merupakan platform berasaskan integriti yang menggunakan data automotif yang sah bagi meningkatkan ketelusan dalam ekosistem kenderaan terpakai, di samping mengurangkan penipuan dan maklumat mengelirukan berkaitan kenderaan terbabit.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk laporan sejarah kenderaan, pemeriksaan kenderaan serta penyelesaian data automotif API.

"Apa yang membezakan Scrut Garage ialah kami bukan platform yang menjual kereta. Sejak hari pertama, jenama Scrut dibina atas dasar integriti. Sebab itu orang mempercayai laporan pemeriksaan kami.

"Malah hari ini, orang sudah menggunakan perkataan 'Scrut' sebagai ‘verb’ apabila merujuk kepada pemeriksaan sesebuah kereta. Itulah prinsip yang kami mahu kekalkan apabila membina ekosistem digital ini," katanya.

Dalam pada itu, Aliff Ahmad berkata, syarikat masih mempunyai ruang pertumbuhan yang besar memandangkan ketika ini Scrut Garage hanya meliputi sebahagian kecil daripada pasaran pemeriksaan dan servis automotif tempatan.

"Pasaran kereta terpakai sahaja mencatat sekitar 500,000 hingga 600,000 transaksi setahun dan kami ketika ini meliputi kurang daripada lima peratus daripadanya.

"Bagi kenderaan re-con (kenderaan dibaik pulih) pula, terdapat kira-kira 45,000 transaksi setahun dan kami hanya meliputi sekitar 15 peratus daripada pasaran itu.

"Ini menunjukkan potensi yang masih besar untuk kami berkembang," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!