PRN Negeri Sembilan: Tiada sebab kaum India tak sokong PH - PM

SEREMBAN – Tiada sebab masyarakat India tidak memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana kerajaan yang diterajui gabungan itu telah membuktikan komitmennya yang tidak meminggirkan mana-mana kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai dasar dan inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kebajikan kaum berkenaan termasuk penambahan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
"Bukan saja MITRA kita tambah peruntukan. Matrikulasi, kalau dulu khusus untuk anak-anak Bumiputera, tetapi sekarang yang dapat 10A, Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan secara automatik ada tempat di universiti.
"Bagi sayalah kalau tengok apa yang kita telah lakukan, tiada sebab masyarakat India, Cina dan Melayu tidak bagi sokongan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat India di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Pengerusi PH itu berkata, buat pertama kali juga kerajaan telah membuka peluang kepada masyarakat India mendapatkan pembiayaan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional yang sebelum ini hanya dinikmati oleh orang Melayu.
Ujarnya, sememangnya ia masih belum mencukupi, namun kerajaan berusaha melakukan yang terbaik tanpa meminggirkan mana-mana kaum.
"Kalau tanya saya cukup atau tidak, semua kaum akan kata tidak cukup. Tetapi saya minta bandingkan, adakah kerajaan dahulu buat macam ini?.
"Tapi di luar sana, hari-hari saya diserang kerana ikut sangat Cina dan India. Ini yang menjadi naratif di setiap kampung," katanya.
Justeru Anwar menggesa rakyat menolak naratif dan politik perkauman kerana boleh menjejaskan keharmonian negara.
Menurutnya, beliau tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha yang memainkan sentimen perkauman kerana perkara itu boleh mengancam kestabilan negara.
"Saya sudah berjumpa dengan pelbagai persatuan India dan tidak ada seorang pun daripada masyarakat India yang mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu serta institusi raja-raja Melayu.
"Kita harus menerima bahawa Malaysia hanya akan selamat jika semua kaum dirangkul dan dibawa bersama. Jadi mengapa kita harus izinkan polemik kaum ini berterusan?" katanya
Beliau turut memaklumkan bahawa bermula malam ini akan mengambil alih isu masyarakat India, sekaligus sebagai bukti keseriusannya dalam soal kebajikan kaum tersebut.
"MITRA, walaupun saya dah minta Ramanan jaga, tapi untuk tunjukkan saya serius tentang isu masyarakat India, bermula sekarang, saya akan ambil alih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

