Yinson GreenTech perkenal aplikasi chargeEV2.0, pengecasan EV yang dipertingkatkan

YINSON GreenTech memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu, chargEV 2.0, yang menawarkan pengalaman pengecasan kenderaan elektrik (EV) lebih pantas, mudah dan lancar, sekali gus memperkukuhkan komitmennya dalam menyokong pertumbuhan mobiliti hijau di Malaysia.
Pelancaran aplikasi itu turut menandakan pencapaian penting syarikat apabila rangkaian chargEV berjaya merekodkan lebih 1 juta sesi pengecasan sejak Yinson GreenTech mengambil alih perniagaan tersebut pada tahun 2022.
Pengarah Urusan Pengecasan EV dan Pajakan Yinson GreenTech, Kelvin Soon berkata, pencapaian itu membolehkan syarikat memahami dengan lebih mendalam corak penggunaan pengecas awam oleh pemandu EV dan menambah baik pengalaman pengguna.
"Kami berbangga mencapai satu juta sesi pengecasan. Daripada data yang dikumpulkan, kami dapat mengenal pasti cabaran yang pengguna ketika mengecas dan menterjemahkannya kepada penambahbaikan yang praktikal menerusi chargEV 2.0.
"Fokus kami adalah membantu pemandu menghabiskan lebih sedikit masa menguruskan proses pengecasan dan lebih banyak masa berada di jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Aplikasi baharu itu dibangunkan dengan ciri yang lebih mesra pengguna, termasuk reka bentuk antaramuka yang lebih kemas, fungsi pengecasan satu klik serta ciri 'AutoCharge' yang membolehkan proses pengecasan dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.
Selain itu, aplikasi terbabit dilengkapi peta yang dipertingkatkan, pemantauan aktiviti pengecasan secara langsung serta keupayaan perancangan perjalanan yang lebih efisien.
Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh mengakses rangkaian pengecasan chargEV di seluruh negara yang merangkumi pusat beli-belah, hotel, premis runcit, pusat jualan automotif, pejabat dan lokasi bandar yang mempunyai trafik tinggi.
Pada masa sama, Yinson GreenTech terus memperluaskan rangkaian pengecasannya di seluruh Malaysia dengan memperkukuh kemudahan di lokasi bertrafik tinggi, meningkatkan ketersediaan pengecas di lokasi sedia ada serta memperluaskan liputan ke kawasan yang masih mempunyai akses pengecasan yang terhad.
Antara lokasi pemasangan terbaharu ialah Merdeka 118, beberapa cawangan AEON Mall terpilih serta bandar-bandar seperti Gemas, Raub, Teluk Intan dan Kuala Kangsar.
Syarikat itu turut merancang memperluaskan pemasangan pengecas pantas di sepanjang lebuh raya utama negara secara berperingkat bagi meningkatkan keyakinan pengguna EV untuk melakukan perjalanan jarak jauh dan merentas negeri.
Usaha tersebut bukan sahaja memperkukuhkan infrastruktur pengecasan EV negara, malah memudahkan pengguna mengakses rangkaian pengecasan yang saling berhubung di Malaysia dan juga di luar negara.
Aplikasi chargEV 2.0 kini boleh dimuat turun menerusi App Store atau Google Play.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
