Premis guaman di zon hijau dibenar beroperasi

Prosedur operasi standard dan garis panduan kebenaran beroperasi yang dikeluarkan kepada sektor perkhdidmatan berkaitan guaman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Prosedur operasi standard dan garis panduan kebenaran beroperasi yang dikeluarkan kepada sektor perkhdidmatan berkaitan guaman dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Premis guaman yang berada di zon hijau dibenarkan beroperasi, namun perkhidmatan semuka hanya boleh diberikan kepada pelanggan dari zon sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, cabang dalam sektor perkhidmatan berkaitan guaman yang dibenarkan beroperasi ialah conveyancing dan korporat berkaitan dengan sektor yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak termasuk yang melibatkan khidmat nasihat.

Menurut kenyataan itu, cabang litigasi dan lain-lain adalah tidak termasuk dalam cabang perkhidmatan berkaitan dengan guaman.

"Waktu operasi yang dibenarkan hanya dari jam 10 pagi sehingga 4 petang dan hanya melibatkan dua hari seminggu iaitu Selasa dan Khamis.

"Jumlah kakitangan yang dibenarkan berkhidmat pada satu-satu masa atau hari adalah tertakluk kepada komposisi firma guaman termasuk cawangan, sekiranya ada, (merangkumi rakan kongsi, peguam kanan, peguam, kakitangan am dan penghantar surat) iaitu berdasarkan deklarasi jumlah kakitangan firma sewaktu permohonan dibuat," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, jumlah kehadiran setiap kakitangan pada setiap masa hendaklah direkodkan dalam buku daftar khas dengan tulisan tangan kakitangan berkenaan.

"Dalam rekod itu perlu disertakan nama, nombor kad pengenalan, waktu masuk, tandatangan masuk, waktu keluar dan tandatangan keluar. Rekod kehadiran itu hendaklah disimpan untuk tempoh minimum selama enam bulan," katanya.

Katanya, kerajaan berhak untuk menarik balik kelulusan sekiranya melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga berhak untuk meminda syarat-syarat tertakluk kepada situasi semasa," kata kenyataan itu.