303 projek perumahan sakit bernilai RM40.25 bilion setakat JUN - KPKT

Sebanyak 303 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai projek sakit di Semenanjung Malaysia setakat 30 Jun lepas, melibatkan 43,288 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar RM40.25 bilion. Gambar hiasan
Sebanyak 303 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai projek sakit di Semenanjung Malaysia setakat 30 Jun lepas, melibatkan 43,288 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar RM40.25 bilion. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 303 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai projek sakit di Semenanjung Malaysia setakat 30 Jun lepas, melibatkan 43,288 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar RM40.25 bilion.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu memaklumkan sebanyak 100 projek pula disahkan terbengkalai, melibatkan 27,998 unit rumah dan 14,961 pembeli.

Menurut KPKT, Selangor mencatat jumlah projek terbengkalai tertinggi dengan 41 projek, diikuti Kelantan (13) dan Terengganu (11), manakala Melaka, Perlis serta Putrajaya tidak merekodkan projek dalam kategori itu.

KPKT menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar tentang jumlah terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, bilangan pembeli terjejas serta tindakan untuk mempercepat pemulihannya.

Bagi menangani isu berkenaan, kementerian itu melaksanakan usaha pemulihan menerusi Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).

"Setakat Jun 2026, sebanyak 1,647 projek perumahan melibatkan 192,912 unit rumah bernilai RM153 bilion berjaya dipulihkan," menurut kementerian itu.

KPKT memaklumkan TFST memberikan tumpuan kepada empat pendekatan, iaitu mengenal pasti projek bermasalah, mencari penyelesaian, mencegah masalah sama berulang dan merangka kaedah pemulihan yang lebih berkesan.

Kementerian itu turut bertindak sebagai pengantara dalam rundingan antara pemaju, pembeli, institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian.

Reformasi Perumahan Madani yang dilaksanakan mulai 1 Jan lepas menyasarkan sifar projek perumahan baharu terbengkalai menjelang 2030, termasuk menerusi penggunaan perjanjian jual beli elektronik (eSPA). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!