Love scam Forest City: Dua warga China dipenjara, 18 warga Indonesia mengaku tidak bersalah

JOHOR BAHRU – Dua warga China mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan menjadi ahli sindiket penipuan dalam talian atau love scam pada pertengahan bulan ini.
Lin Kun Chi, 30, dan Bai Kan, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret A Shaarmini selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Dalam prosiding yang sama, seramai 18 warga Indonesia turut didakwa dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.
Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan pakatan jenayah bagi menjalankan cubaan penipuan dalam talian menggunakan modus operandi love scam di Forest City, Tanjung Kupang, awal bulan ini.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjadi pihak kepada satu pakatan jenayah dan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, iaitu cubaan menipu mangsa melalui kaedah love scam.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Forest City 17, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, pada kira-kira jam 12.16 tengah hari, 15 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan pakatan jenayah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Syafeeqah Mohd Shariffudin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuan mereka, kedua-dua warga China terbabit memohon hukuman diringankan kerana mendakwa ditipu ejen pekerjaan, mempunyai keluarga di China serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM7,000. Sekiranya gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama enam bulan.
Bagi 18 suspek warga Indonesia pula, mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan dua orang penjamin warga Malaysia.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Ogos ini dan akan menghantar surat kepada Kedutaan Indonesia sekiranya pihak berkenaan ingin memberikan bantuan guaman kepada tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

