159 warga China ‘scammer’ berdepan hukuman sebat enam kali

JOHOR BAHRU – Seramai 159 warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menjadi ahli sindiket penipuan dalam talian atau 'scammer' selain berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah, pertengahan bulan ini.
Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 58 tahun itu didakwa di hadapan Majistret A Shaarmini, Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Nurzihan Abdul Rehman.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka sebagai pihak kepada suatu pakat jahat jenayah didakwa dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu cubaan untuk menipu pelaburan kripto yang tidak wujud dan bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mereka juga sebagai seorang bukan warganegara Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis di Jalan Forest City 16, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 15 Julai lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda antara RM4,000 hingga RM10,000 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan imigresen dan menipu.
Manakala mahkamah menetapkan tarikh sebutan antara 13 hingga 24 Ogos depan bagi sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, Nor Hidayah Mohd Tarmizi, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Adilah Farzana dan Nor Deana Aqilah Aliman.
Manakala kesemua tertuduh diwakili barisan peguam Heng Wang Qianyou, Heng Wang Qianwei, Clement Tiong dan Ng Mee Xuan.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, seramai 335 individu ditahan hasil serbuan ke atas 32 premis dengan nilai rampasan RM1 juta.
Beliau dilaporkan berkata, serbuan merangkumi 27 unit apartmen dan lima unit banglo yang didapati beroperasi sebagai 'calling centre' yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
Manakala, pecahan tangkapan katanya merangkumi 309 warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan.
Difahamkan, seramai 194 individu yang ditahan mendapat arahan pendakwaan dengan 159 dituduh pada Selasa manakala baki 35 lagi akan dituduh pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

