27 apartmen, lima banglo di Forest City jadi pusat calling centre scammer

JOHOR BAHRU – Sebanyak 27 unit apartmen dan lima banglo di sekitar Forest City, Iskandar Puteri dijadikan pusat operasi "calling center" yang menyasarkan mangsa di luar negara berjaya dilumpuhkan menerusi operasi bersepadu pada bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor berjaya menahan seramai 335 individu pada 17 Julai lalu.
Menurut beliau, operasi berkenaan tertumpu di dua lokasi di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, iaitu Tanjung Kupang dan Gelang Patah.
"Sebanyak 32 premis terdiri daripada 27 unit apartmen dan lima banglo telah diserbu dan diperiksa. Kesemua premis didapati beroperasi sebagai calling centre yang menjalankan kegiatan penipuan atas talian.
"Hasil serbuan dan pemeriksaan itu, polis membuka 23 kertas siasatan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Beliau berkata, daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 309 adalah warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga Malaysia yang berusia antara 20 hingga 58 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat dua kumpulan berbeza yang menjalankan kegiatan penipuan dengan modus operandi berlainan.
Katanya, kumpulan pertama membabitkan 279 tangkapan dan menjalankan penipuan melalui tawaran pelaburan mata wang kripto serta "love scam" dengan menyasarkan mangsa dari China dan Indonesia.
"Mereka dipercayai berperanan sebagai ejen mencari pelanggan menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok serta menerima gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000 seorang.
"Kumpulan kedua membabitkan 56 tangkapan yang disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai firma guaman selain menawarkan pelaburan dan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dari China," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas 313 unit komputer, 1,557 unit telefon bimbit, 17 komputer riba, 10 modem, sebuah monitor, sebuah CPU serta sebuah kenderaan jenis Mazda CX-8 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1 juta.
Mengulas mengenai premis yang digunakan, beliau berkata, siasatan mendapati 27 unit apartmen berkenaan disewa oleh sebuah syarikat atas nama seorang warga China yang kini sedang dikesan polis.
"Manakala lima banglo itu pula disewa secara berasingan dan kita sedang mengenal pasti individu yang menyewanya.
"Kita percaya dalang utama sindiket ini masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 14 kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor yang mengarahkan seramai 194 orang kena tuduh (OKT) akan didakwa.
Menurutnya, seramai 159 OKT akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa, manakala baki 35 lagi akan didakwa pada Rabu.
"Operasi ini membuktikan komitmen Polis Johor untuk memastikan negeri ini tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian walaupun mangsa mereka berada di luar negara.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

