Iklan buah betik yang kian dilupakan

SEJAK mengetahui kewujudan sebuah gerai yang menjual buah potong segar di kedai berhampiran kediaman, penulis mula menjadikannya sebagai persinggahan wajib.
Satu pek dijual dengan harga RM5. Menariknya, buah-buahan potong yang dibeli masih segar walaupun sudah tiga hingga empat hari dalam peti sejuk, bergantung kepada jenis buah.
Perkara tersebut membuatkan penulis mula menukar tabiat berbelanja dengan mengutamakan buah potong sebagai kudapan kerana lebih memudahkan dan sihat.
Semakin berusia, buah-buahan sentiasa menjadi penyelamat selera. Perlu diakui, buah-buahan adalah comfort food yang sebenar.
Tapi malangnya, daripada pemerhatian penulis, jualan buah potong kurang menjadi pilihan peniaga mahupun penjaja mungkin atas faktor kategori makanan cepat rosak yang tidak boleh disimpan lama.
Tidak seperti jualan makanan lain, khususnya 'makanan viral' yang mudah tumbuh bagai cendawan lepas hujan.
Benar, makanan bermusim mempunyai permintaan lebih tinggi membuatkan golongan peniaga sentiasa mencari peluang menjana pendapatan.
Sedangkan hakikatnya, sajian buah-buahan tidak pernah bermusim dan jarang ditolak jika dipelawa untuk makan.
Hampir semua orang sukakan buah-buahan, apatah lagi yang siap dikupas dan dipotong. Jualan buah potonglah yang sepatutnya 'diangkat' apatah lagi ia adalah makanan sihat.
Teringat kepada iklan pesanan khidmat masyarakat (PSA) yang sering menghiasi kaca televisyen sekitar era 1990-an. Seorang kanak-kanak menangis kerana mahu membeli makanan ringan diidamkannya, namun ibunya berjaya memujuk dengan membelikan sepotong buah betik.
Mesejnya cukup ringkas, tetapi kekal terpahat dalam ingatan. Buah-buahan digambarkan bukan sekadar pilihan makanan, sebaliknya lambang amalan pemakanan sihat yang wajar dibentuk sejak kecil.
Malangnya, pesanan khidmat masyarakat seumpama itu semakin jarang menghiasi kaca televisyen. Sebaliknya, ruang media hari ini lebih dipenuhi promosi minuman manis, makanan tular dan kandungan media sosial yang lebih banyak mempengaruhi selera pengguna berbanding menggalakkan pemakanan sihat.
Tidak salah menikmati secawan kopi premium, pencuci mulut atau makanan yang sedang tular di media sosial. Penulis sendiri sesekali terpengaruh untuk mencubanya. Namun, apa yang membimbangkan apabila makanan yang baik untuk kesihatan semakin terpinggir kerana dianggap tidak cukup menarik untuk dikongsi di media sosial.
Sedangkan, saranan pakar pemakanan juga jelas, iaitu setiap individu digalakkan mengambil sekurang-kurangnya dua hidangan buah dan tiga hidangan sayur-sayuran setiap hari sebagai sebahagian daripada amalan pemakanan seimbang.
Ironinya, ramai yang tidak berkira mengeluarkan belanja RM15 hingga RM20 untuk secawan kopi atau makanan tular. Justeru penulis percaya ramai sanggup untuk membelanjakan jumlah sama jika jualan makanan sihat terus menjadi budaya.
Mungkin sudah tiba masanya kempen menggalakkan rakyat makan buah-buahan dan makanan sihat diberi nafas baharu. Jika dahulu pesanan disampaikan menerusi iklan khidmat masyarakat di televisyen, hari ini mesej yang sama perlu dibawa ke platform media sosial dengan pendekatan yang lebih dekat dengan generasi muda.
Tidak mustahil buah potong atau makanan sihat lain juga boleh menjadi tular, jika dipersembahkan dengan cara yang kreatif dan menarik.
*Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
