'Ramalan Kian Ming ajak rakyat bangkit perkukuh sokongan PH' – Penganalisis

KUALA LUMPUR - Ramalan yang dibuat oleh pemimpin DAP, Ong Kian Ming mengenai kemungkinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencatat keputusan memberangsangkan di Negeri Sembilan wajar dilihat sebagai satu peringatan, bukannya gambaran mutlak tentang keputusan pilihan raya.
Profesor Adjung Universiti SEGI, Dr Sarraf Rajesh berkata, hakikatnya, dalam politik, persepsi sering mempengaruhi strategi dan apabila sesuatu pertandingan dilihat semakin sengit, jentera parti lazimnya akan bekerja dengan lebih gigih, manakala penyokong pula lebih terdorong untuk keluar mengundi.
Dalam konteks ini katanya, kenyataan Kian Ming boleh menjadi pemangkin yang menyatukan semula kekuatan Pakatan Harapan (PH) di peringkat akar umbi dan mengelakkan sebarang rasa terlalu yakin dalam kalangan penyokongnya.
“Persoalan utama kini bukan lagi mengenai ramalan siapa yang akan menang, tetapi bagaimana pengundi menilai prestasi kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbirannya.
“Lazimnya, pengundi akan membuat keputusan berdasarkan pengalaman mereka sendiri terhadap dasar dan pelaksanaan kerajaan, bukannya semata-mata dipengaruhi oleh unjuran politik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Ong Kian Ming meramalkan bahawa gabungan BN dan PN mempunyai kelebihan untuk memenangi antara 23 hingga 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai ramalan itu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan pilihan raya ditentukan oleh pengundi dan bukannya ramalan penganalisis politik.
Mengulas lanjut, Sarraf berkata, PH memasuki pilihan raya dengan satu kelebihan yang sukar dinafikan, iaitu rekod pentadbiran di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min.
Katanya, sepanjang menerajui Negeri Sembilan, beliau dilihat mengekalkan pentadbiran yang stabil, berhemah dan bebas daripada sebarang kontroversi besar.
“Pendekatan beliau yang sederhana serta mudah didekati turut membentuk imej seorang pemimpin yang lebih mengutamakan penyelesaian berbanding retorik politik.
“Dalam aspek pembangunan pula, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan, memperkukuh ekonomi negeri, menambah baik infrastruktur, memperluaskan peluang pekerjaan serta melaksanakan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan inklusif yang memastikan bantuan disalurkan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik turut menjadi antara kekuatan pentadbiran Tok Min.
Atas sebab itu katanya, tidak menghairankan jika sebahagian besar pengundi melihat kesinambungan pentadbiran sebagai pilihan yang lebih meyakinkan.
Dalam banyak pilihan raya, jelasnya, kestabilan dan rekod pencapaian sering menjadi pertimbangan utama, khususnya apabila kerajaan sedia ada dilihat berjaya memenuhi sebahagian besar harapan rakyat.
“Justeru, ramalan yang dibuat oleh Kian Ming mungkin bukan sesuatu yang melemahkan PH.
“Sebaliknya, ia berpotensi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penyokong bahawa setiap undi amat penting. Semakin sengit sesuatu pertandingan, semakin tinggi kebarangkalian jentera dan penyokong akan digerakkan secara maksimum sehingga hari pengundian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
