'Saya potong reben buka kawasan industri, bukan balai raya'- Aminuddin

PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat, kritikan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap kekerapan beliau menghadiri majlis memotong reben adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dipertikaikan.
Menurutnya, majlis perasmian yang dihadirinya kebanyakannya melibatkan pembukaan kawasan perindustrian dan kilang yang membawa peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
"Semalam saya tengok Tok Mat (Mohamad) kata saya potong reben dua penggal. Apa yang saya potong, reben saya mahal-mahal.
"Saya potong reben pembukaan kawasan perindustrian yang memberi peluang pekerjaan, bukannya potong reben untuk membuka balai raya," katanya ditemui pemberita berkempen di Kampung Pengkalan Durian di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, upacara memotong reben tersebut sebagai meraikan pentadbiran Negeri Sembilan yang disifatkan sebagai mesra pelabur.
Namun kata Aminuddin, beliau tidak pasti jika upacara sebegitu tidak diadakan ketika zaman Mohamad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
"Bagi saya tidak perlulah begitu. Kalau saya potong reben, sebenarnya mereka meraikan, mereka suka pada pentadbiran yang mesra pelabur.
"Sebab itu saya dijemput, tak tahulah saya kalau zaman Tok Mat tidak dijemput, saya mintalah. Janganlah benda-benda kecil seperti itu dibawa dalam pilihan Raya, saya tahu Tok Mat hebat," katanya.
Menurutnya, bukan taraf Ahli Parlimen Rembau terbabit untuk bercakap seperti itu, seolah-olah tiada isu lain yang mahu diperkatakan.
Katanya lagi, sepatutnya ketika berkempen, pemimpin parti atau calon bercakap isu yang lebih bermanfaat kepada rakyat, bukannya memperlekehkan orang lain.
"Saya rasa carilah isu yang lebih bermanfaat kepada rakyat dalam pilihan raya ini. Rakyat menantikan apa yang ingin kita sampaikan kepada mereka dengan betul dan tepat.
"Tak perlulah melekeh-lekehkan orang dalam pilihan raya ini. Masing-masing kena jaga adab sopan kita," katanya.
Ditanya sama ada BN iri hati dengan kejayaan pentadbiran di bawah kerajaan PH, beliau tidak merasakan begitu tetapi menegaskan bahawa apa yang ditawarkan kerajaan hari ini adalah apa yang dilaksanakan.
Aminuddin juga tidak menafikan bahawa apa yang dinikmati oleh rakyat negeri ini turut disumbangkan oleh kepimpinan terdahulu termasuklah Tok Mat.
"Saya ucap terima kasih...memang ada asas yang telah dibuat, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, asas kemerdekaan itu penting dan kemudian diteruskan oleh Tunku Hussein Onn.
"Begitu juga di Negeri Sembilan, jasa Tan Sri Rais Yatim, kemudian Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tok Mat ada pengorbanannya. Kini saya teruskan," katanya.
Namun katanya, cara dan penglibatan setiap pemimpin itu serta objektinya adalah berbeza.
"Terpulang kepada rakyat menilai dan saya pun tidak masalah kalau orang tidak ingat jasa saya.
"Yang paling penting ALLAH ingatkan saya tentang apa yang kita buat. Itu amanah saya kepada ALLAH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

