Pahang sasar 35 emas dalam SUKMA

KONTINJEN Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang menyasarkan kutipan 35 pingat emas pada temasya SUKMA Selangor 2026, manakala kontinjen Para SUKMA pula memburu 15 pingat emas dalam saingan yang berlangsung pada Ogos dan September depan.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan potensi dan prestasi atlet negeri pada ketika ini.
"Kontinjen Pahang kali ini diwakili 737 atlet membabitkan 397 lelaki dan 340 wanita yang akan memberi tumpuan kepada acara berpotensi menyumbang pingat emas.
"Kita juga mempertaruhkan 75 atlet membabitkan 49 lelaki dan 26 wanita pada Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 10 September depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pahang ke SUKMA dan Para SUKMA di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Selasa.
Majlis itu disempurnakan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Fadzli memberitahu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM12 juta bagi persiapan kontinjen SUKMA dan Para SUKMA kali ini.
"Kontinjen kita lebih besar kali ini dan pertama kali SUKMA tidak mempunyai perkampungan sukan, jadi kita perlu menanggung kos penginapan, pengangkutan serta makan minum.
"Alhamdulillah, menjelang temasya yang berbaki kira-kira 18 hari lagi, kita berjaya memperoleh peruntukan tambahan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang cukup prihatin terhadap keperluan atlet-atlet kita," jelasnya.

Mengulas peluang kutipan pingat, Fadzli berkata, acara menembak menjadi antara sandaran utama Pahang selepas mencatat pencapaian membanggakan pada SUKMA lalu.
Katanya, selain menembak, Pahang turut melihat potensi menerusi beberapa acara lain seperti angkat berat, silat, memanah, judo, karate, taekwondo dan olahraga.
"Dalam SUKMA yang lepas, kita berjaya memperoleh 12 pingat emas bagi acara menembak dan kali ini kita mahu mengekalkan kejayaan tersebut atau mencapai pencapaian lebih baik.
"Kita nampak peluang-peluang baharu untuk emas, sebab itu kita menyasarkan 35 pingat emas kali ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengekalkan ganjaran RM6,000 bagi pemenang pingat emas individu SUKMA seperti yang diberikan pada temasya di Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

