Bekas Mufti Agung Mesir antara 23 ulama di Festival Turath Islami Selangor 2026

SHAH ALAM – Festival Turath Islami Selangor 2026 bakal menghimpunkan 23 tokoh ulama tempatan dan antarabangsa dalam usaha memperkasa penghayatan warisan ilmu Islam dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, festival memasuki edisi keempat itu bakal menampilkan tokoh ilmuwan termasuk bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Professor Dr Ali Jum-ah, selain tokoh dari Malaysia, Indonesia, Maghribi dan Patani.
Beliau berkata, penganjuran festival itu adalah kesinambungan usaha kerajaan negeri memartabatkan turath Islami sebagai asas pembangunan insan, pembentukan akhlak serta pengukuhan masyarakat berilmu.
"Festival Turath Islami bukan sekadar acara keagamaan, tetapi satu usaha menghidupkan kembali tradisi ilmu yang berasaskan talaqi (berguru) serta memastikan warisan keilmuan Islam terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media selepas Mesyuarat Festival Turath Islami Selangor 2026 di sini pada Selasa.
Festival Turath Islami Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 20 September depan dengan lokasi utama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta beberapa kawasan sekitar Shah Alam.
Menurut Amirudin, festival yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertemakan Hikmah Warisan Islam dengan mengetengahkan kitab Al-Hikam Al-Ata’iyyah karya tokoh tasawuf Islam, Ibnu Atha'illah As-Sakandari.
Beliau menjelaskan, kitab itu menghimpunkan mutiara hikmah berkaitan keikhlasan, tawakal serta hubungan seorang hamba dengan ALLAH SWT yang kekal relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini.
"Antara pengisian festival termasuk lebih 42 sesi pengajian, kuliah subuh, bacaan khairat, talaqi kitab, tausiah perdana, majlis qasidah dan Festival Buku Islami," ujar beliau.
Menurut Amirudin, edisi kali ini turut menyaksikan penganjuran julung kali Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan sebagai platform menghimpunkan ilmuwan Islam bagi membincangkan cabaran semasa umat serta memperkukuh pendidikan dan pengajian Islam di negara ini.
Jelas beliau, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan pendidikan Islam sebagai salah satu pendekatan dalam pembangunan masyarakat berilmu dan berakhlak.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, penganjuran tahun ini dijangka menarik sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung selepas jumlah sama direkodkan pada edisi lalu.
Beliau berkata, kemudahan LRT3 yang mula beroperasi baru-baru ini dijangka menjadi faktor tambahan dalam menarik lebih ramai pengunjung berikutan akses ke Shah Alam kini lebih mudah melalui pengangkutan awam.
Katanya, kemudahan pengangkutan awam baharu itu berpotensi memudahkan pergerakan peserta khususnya yang datang dari luar Shah Alam dan kawasan sekitar.
"Kerajaan negeri akan melihat keperluan menyediakan kemudahan sokongan seperti bas atau van pengantara bagi membantu peserta yang menggunakan LRT3 menuju ke lokasi program," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

