'Wanita Rohingya menangis, meraung'

KUALA LUMPUR - Suasana tenang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bertukar riuh dengan tangisan dan raungan sejurus melihat kehadiran pihak media dan lensa kamera.
Itu gelagat seorang wanita Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur sementara menanti tindakan lanjut daripada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati semua 110 pelarian Rohingya dan tiga individu masing-masing pencari suaka dari negara lain ditempatkan dalam keadaan lebih teratur berbanding di kaki lima pejabat UNHCR.
Turut kelihatan petugas dari badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Relief Agency (MRA) membuat pemeriksaan perubatan buat individu yang memerlukan.
Difahamkan pelarian terbabit diberi makan dan minum yang mencukupi malah kemudahan asas seperti tandas serta susu bayi termasuk air panas disediakan.
Terdahulu media melaporkan, kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada jam 8.50 malam, Isnin.
Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
Fadil berkata, hasil daripada proses dokumentasi yang dijalankan terhadap warga Rohingya di pekarangan Dataran Wira IPK Kuala lumpur mendapati kesemua warga Rohingya mempunyai dokumen UNHCR yang sah.
ARTIKEL BERKAITAN:
Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan UNHCR dipindahkan ke IPK KL - Polis
Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?
Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis
Pelarian Rohingya miliki dokumen UNHCR sah - Ketua Polis KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
