[VIDEO] Enam beradik berdepan hukuman mati

IPOH - Enam beradik lelaki bersama seorang rakan mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah seberat lebih 100 gram, minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Affandi Zulkafli, 41; Muhammad Khairul Azmil Zulkafli, 40; Shahrul Azwan Zulkafli, 38; Mohamad Shah Herman Zulkafli, 35; Muhamad Amirul Zulkafli, 29, dan Mohamad Hafizi Zulkafli, 27, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Ridzuan.
Pertuduhan terhadap seorang lagi tertuduh, Mohd Ismail Borhan, 43, dibuat di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang hari sama berikutan dia sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh masing-masing penganggur didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor, Ipoh kira-kira jam 9.20 malam pada 21 Julai 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zariss Sofea Zainudin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

