Empat suspek pengedar dadah cuba lolos, bergelut sebelum dicekup polis

Keempat-empat lelaki yang ditahan dalam sebuah kereta di Bachok. 
Foto PDRM
Keempat-empat lelaki yang ditahan dalam sebuah kereta di Bachok.  Foto PDRM
A
A
A

BACHOK – Empat lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah cuba meloloskan diri dan bergelut dengan polis sebelum berjaya ditahan dalam serbuan di Kampung Alor Pulai, Jelawat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, kesemua suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah Proton Saga FLX yang diparkir di hadapan sebuah rumah.

“Mereka cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan. Hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg silang mengandungi tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah dengan anggaran berat 0.43 gram.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemui balutan akhbar mengandungi enam botol berisi serbuk putih disyaki dadah seberat 27.46 gram,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM2,231.20.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis morfin, manakala seorang lagi positif amphetamine.

“Semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Rekang, Repek pada jam 10.30 malam hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah terbabit menemukan 596 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM5,960.

Artikel Berkaitan:

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, manakala semakan rekod menunjukkan dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Suspek yang ditahan bersama 596 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM5,960. Foto PDRM
Suspek yang ditahan bersama 596 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM5,960. Foto PDRM

Beliau berkata, kesemua lima suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah.

Katanya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!