Ketua Pemuda Amanah Bachok didakwa sebar hantaran palsu kenaikan harga petrol, diesel

SEPANG - Ketua Pemuda Amanah Bachok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan membuat hantaran palsu mengenai dakwaan kenaikan harga petrol dan diesel menerusi aplikasi Threads, empat bulan lalu.
Abdullah Aqili Romeli, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Threads atas nama '@qilieybrembo' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran palsu.
Ia berupa gambar laporan berita, mendakwa terdapat kenaikan harga petrol dan diesel, dengan niat mengganggu mana-mana orang, jam 12 tengah hari pada 31 Mac lalu.
Hantaran berkenaan telah dilihat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tower 1, Cyberjaya jam 3 petang hari sama.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa MCMC, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
"Termasuk syarat-syarat tambahan yang difikirkan perlu oleh mahkamah," katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang memakai kemeja berwarna hitam itu memohon mahkamah mengurangkan kadar jaminan kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik.
"Hari ini, saya datang dari Kelantan dengan berbekalkan RM300, malah pendapatan yang diterima digunakan untuk menyara seorang anak angkat," katanya yang hadir tanpa diwakili peguam.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Fuad membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

