Scammer makin licik, mahasiswa jangan sampai kena 'game'

PERNAH tak anda menerima mesej menawarkan kerja sambilan dengan bayaran sehingga RM2,000? Atau panggilan daripada individu yang mengaku pegawai bank, universiti atau agensi kerajaan?
Pada mulanya semuanya nampak biasa. Namun, dalam sekelip mata, anda mungkin bukan sahaja kehilangan wang, malah identiti peribadi turut menjadi sasaran.
Inilah realiti yang semakin membimbangkan apabila sindiket scam kini semakin bijak menyusun helah untuk memperdaya mangsa. Jika dahulu golongan bekerja dan warga emas sering dikaitkan dengan jenayah ini, hari ini mahasiswa juga tidak terkecuali.
Malah, lebih mengejutkan, ada mahasiswa yang bukan sekadar menjadi mangsa, tetapi tanpa sedar dipergunakan sebagai keldai akaun bagi membantu sindiket memindahkan wang hasil kegiatan penipuan.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan trend pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi keldai akaun semakin membimbangkan.
Menurut beliau, sindiket dikesan menawarkan imbuhan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 kepada pelajar sebagai balasan membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menerima dan memindahkan wang hasil kegiatan jenayah.
Ramai mungkin menganggap ia sekadar cara mudah mendapatkan wang poket tambahan. Hakikatnya, tindakan itu boleh mengundang padah kerana pemilik akaun turut berdepan risiko disiasat dan didakwa apabila akaun mereka digunakan untuk transaksi haram.
Persoalannya, kenapa mahasiswa sering menjadi sasaran? Jawapannya mudah. Hampir semua urusan harian mereka kini dilakukan secara dalam talian. Daripada mendaftar kursus, memohon biasiswa, membeli barangan, membuat transaksi perbankan hinggalah mencari kerja sambilan, semuanya hanya di hujung jari. Ruang digital yang luas inilah membuka peluang kepada scammer untuk mencari mangsa baharu.
Modus operandi mereka juga semakin pelbagai. Ada yang menawarkan kerja sambilan dengan bayaran tinggi, ada yang menghantar pautan kononnya untuk menuntut bantuan kewangan atau biasiswa, manakala ada pula yang menyamar sebagai pegawai universiti, bank atau agensi kerajaan.
Apa yang mereka mahukan sebenarnya hanyalah satu perkara iaitu kepercayaan mangsa. Sebaik sahaja mangsa berkongsi kod OTP, maklumat perbankan atau memuat turun aplikasi yang diberikan, scammer mempunyai peluang untuk mengakses akaun dan mengaut keuntungan.
Ancaman itu bukan sekadar persepsi. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2025 dengan jumlah kerugian mencecah RM2.97 bilion, meningkat 87 peratus berbanding 35,368 kes dengan kerugian RM1.57 bilion pada tahun 2024.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, sindiket scam sentiasa mengubah taktik mengikut perkembangan teknologi dan menggunakan pelbagai platform bagi memperdaya orang ramai.
Bagi mahasiswa, langkah paling mudah sebenarnya bermula dengan diri sendiri. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang terlalu indah untuk dipercayai.
Scammer akan terus mencari helah baharu, tetapi satu perkara yang tidak berubah ialah sikap berhati-hati. Kadangkala, hanya beberapa minit untuk membuat semakan sudah cukup untuk mengelakkan kerugian yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Jangan kerana mahu cepat atau teruja dengan tawaran lumayan, akhirnya diri sendiri yang kena game.
*Nurhazlin Lydia M Nazri ialah Pencipta Kandungan Sinar Varsity
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

