Remaja sasaran baharu 'scammer', diugut selepas tipu pembelian digital - MCCC

SHAH ALAM – Sindiket penipuan dalam talian dikesan menggunakan modus operandi baharu dengan menyasarkan golongan remaja yang gemar membeli permainan dan barangan digital secara dalam talian sebelum mengugut mangsa agar tidak membuat laporan polis selepas diperdaya.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, pihaknya menerima aduan membabitkan seorang remaja yang menjadi mangsa penipuan sebelum diugut kononnya boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya membuat laporan polis, di Pahang.
Menurutnya, sindiket berkenaan mendakwa mangsa boleh didenda hingga RM20,000 selain diancam akan disaman, semata-mata bagi menakutkan mereka daripada mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
"Ini hanyalah taktik psikologi yang digunakan sindiket bagi memastikan mangsa terus berdiam diri.
"Dakwaan itu tidak benar dan mangsa tidak perlu takut untuk membuat laporan polis," katanya kepada media pada Selasa.
Beliau berkata, sindiket kini semakin agresif menyasarkan remaja yang aktif bermain permainan dalam talian dengan menawarkan kredit permainan atau barangan digital pada harga murah menerusi media sosial serta platform tidak rasmi.
Katanya, mangsa kemudian diarahkan membuat pembayaran menggunakan kod QR ke akaun yang dipercayai berpangkalan di luar negara, sekali gus menyukarkan usaha mengesan aliran wang.
"Scammer turut menggunakan aplikasi dan laman sesawang palsu yang menyerupai platform jualan sebenar bagi memperdayakan remaja.
"Golongan ini menjadi sasaran kerana lebih mudah terpengaruh dengan tawaran menarik selain kurang berpengalaman mengenal pasti modus operandi penjenayah siber," katanya.
Sehubungan itu, Daniel menggesa kerajaan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan bagi membolehkan tindakan membekukan akaun yang disyaki digunakan sindiket dilakukan dengan lebih pantas.
"Apabila mangsa membuat laporan polis di Malaysia, kita berharap pihak berkuasa dapat terus berhubung dengan agensi penguat kuasa atau Interpol di negara berkaitan untuk mengesan serta mendapatkan maklumat akaun yang digunakan scammer.
"Kerjasama seperti ini penting kerana banyak transaksi penipuan kini membabitkan akaun di luar negara, menyebabkan usaha mengesan suspek menjadi lebih rumit jika tindakan segera tidak diambil," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan telefon pintar dan aktiviti dalam talian anak-anak, termasuk mengetahui aplikasi yang digunakan serta transaksi yang dilakukan.
"Ibu bapa perlu sentiasa berbincang dengan anak-anak mengenai risiko penipuan dalam talian dan mengingatkan mereka supaya tidak membeli permainan atau barangan digital daripada individu yang tidak dikenali di media sosial.
"Pemantauan secara berkala mampu mengurangkan risiko anak-anak menjadi mangsa sindiket yang semakin licik," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya hanya membeli permainan atau kredit permainan menerusi platform rasmi.
Tambahnya, mangsa yang terperdaya disarankan segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada institusi kewangan sekiranya disyaki telah tertipu.
"Tindakan itu penting bagi meningkatkan peluang mengesan aliran wang serta membantu siasatan pihak berkuasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

