Institusi perbankan cegah RM1.19 bilion transaksi penipuan pada 2025

Seramai 68 kakitangan daripada 14 institusi perbankan menerima pengiktirafan sebagai ‘Wira Bank’ atas dedikasi dan kewaspadaan mereka dalam mengenal pasti transaksi mencurigakan serta intervensi dalam kes berpotensi scam pada Majlis Penghargaan Wira Bank pada Rabu.
Seramai 68 kakitangan daripada 14 institusi perbankan menerima pengiktirafan sebagai ‘Wira Bank’ atas dedikasi dan kewaspadaan mereka dalam mengenal pasti transaksi mencurigakan serta intervensi dalam kes berpotensi scam pada Majlis Penghargaan Wira Bank pada Rabu.
A
A
A

INSTITUSI perbankan negara berjaya menghalang transaksi penipuan bernilai RM1.19 bilion sepanjang tahun 2025 sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor itu dalam melindungi pelanggan daripada ancaman scam yang semakin kompleks.

Pengerusi bagi Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar mengakui, modus operandi penipuan semakin mencabar berikutan scammer kini memanfaatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan taktik penipuan.

"Justeru, pelaburan berterusan dalam teknologi keselamatan menjadi semakin penting memandangkan taktik penjenayah siber sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi,” katanya ketika Majlis Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026 pada Rabu.

Tambah Syed Ahmad, hasil usaha berterusan industri perbankan beserta pelbagai langkah keselamatan yang dilaksanakan telah menyumbang kepada peningkatan 46 peratus dalam percubaan transaksi penipuan yang berjaya disekat pada tahun 2025 berbanding 2024.

"Jumlah nilai transaksi penipuan yang berjaya dicegah juga meningkat kepada RM1.19 bilion, iaitu peningkatan tiga kali ganda tahun ke tahun, mencerminkan komitmen berterusan industri dalam memperkukuh pencegahan penipuan dalam landskap scam yang semakin canggih," katanya.

Terdahulu pada Majlis Penghargaan Wira Bank yang merupakan sebahagian daripada kempen #JanganKenaScam, seramai 68 kakitangan daripada 14 institusi perbankan menerima pengiktirafan sebagai ‘Wira Bank’ atas dedikasi dan kewaspadaan mereka mengenal pasti transaksi mencurigakan serta intervensi dalam kes berpotensi scam.

Tindakan mereka berjaya mencegah kerugian akibat transaksi penipuan bernilai lebih RM139 juta pada tahun 2025.

Menurut Syed Ahmad, kakitangan bank memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam melindungi pelanggan daripada ancaman penipuan kewangan.

“Sebagai petugas dalam memerangi jenayah kewangan, tindakan pantas dan komitmen mereka amat penting dalam mengesan aktiviti mencurigakan serta menghalang transaksi penipuan sebelum kerugian yang lebih besar berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengiktirafan itu melibatkan kakitangan daripada Agrobank, Alliance Bank, AmBank, Bank of China, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, CIMB, HSBC, Maybank, OCBC, Public Bank, RHB dan UOB.

Syed Ahmad menambah, industri perbankan turut melihat MyDigital ID sebagai antara inisiatif yang berpotensi memperkukuh proses pengesahan identiti pelanggan serta mengurangkan risiko penipuan pada masa hadapan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Komisioner Polis, Dato’ Rusdi Mohd Isa, turut mengakui, penggunaan MyDigital ID secara menyeluruh mampu menjadi satu lagi lapisan perlindungan dalam usaha membanteras scam.

“Kita yakin ciri-ciri keselamatan yang ada pada MyDigital ID sukar untuk dimanipulasi dan mampu membantu untuk mencegah penipuan,” katanya.

Pada masa sama, Rusdi menghargai kerjasama erat serta sokongan berterusan daripada industri perbankan dalam memerangi jenayah komersil dan penipuan.

“Melalui kerjasama rapat dan perkongsian maklumat, bank serta agensi penguatkuasaan undang-undang telah memperkukuh usaha dalam melindungi orang ramai daripada ancaman scam yang sentiasa berkembang,” katanya.

Setakat ini, bank dan institusi kewangan telah berjaya mencapai hasil berikut melalui pelaksanaan inisiatif anti-scam utama dan penambahbaikan keselamatan, termasuk Ciri Money Vault / Money Lock, yang digunakan lebih 38,000 pelanggan dengan lebih RM600 juta disimpan dalam akaun yang dilindungi.

Sistem Malware Shielding pula membantu mencegah lebih 60,000 cubaan scam berkaitan malware melibatkan anggaran potensi kerugian sekitar RM22 juta.

Sementara itu, Fungsi Kill Switch, diaktifkan oleh kira-kira 300,000 pengguna, menyumbang kepada pencegahan hampir RM7 juta potensi kerugian.

Berikutnya, Kemudahan Semakan Keselamatan Kendiri Dalam Talian di mana ciri dalam aplikasi yang membolehkan pelanggan melakukan semakan tahap keselamatan akaun secara kendiri serta mengambil tindakan pembetulan berdasarkan amalan keselamatan terbaik.

Di samping itu, beberapa bank telah memperkenalkan alat keselamatan layan diri yang

membolehkan pelanggan memantau peranti, sesi serta aktiviti log masuk bagi meningkatkan keselamatan dan kesedaran akaun.

Penambahbaikan sistem ini turut disokong usaha pendidikan kesedaran keselamatan siber yang berterusan, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka lebih mengenali serta melindungi diri daripada risiko phishing dan penipuan yang semakin berkembang dan canggih.

Sepanjang kempen #JanganKenaScam, industri perbankan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran bertujuan melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk melindungi diri daripada penipuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!