Polis berkas 'scammer' China, pusat panggilan 'love scam' lumpuh

IPOH – Kegiatan sindiket pusat panggilan yang menjalankan penipuan cinta atau 'love scam' berjaya dilumpuhkan selepas polis menahan 12 lelaki warga China dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada Khamis.
Serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 4.15 petang di dua rumah di Taman Ipoh Selatan dan Medan Pengkalan Setia hasil risikan berhubung kegiatan penipuan atas talian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun.
"Menurut siasatan awal serta skrip perbualan yang ditemui dalam komputer riba dirampas, sindiket dipercayai menjalankan operasi pusat panggilan bagi kegiatan penipuan 'love scam' secara dalam talian.
"Sindiket ini mula beroperasi di kedua-dua premis berkenaan sejak Jun lalu dan menyasarkan mangsa dari negara China," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Alwi berkata, sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat dengan capaian internet tempatan bagi memperdaya mangsa.
Menurutnya, suspek menyamar menggunakan gambar individu berperwatakan menarik untuk menghubungi mangsa secara rawak sebelum memujuk mereka menyertai urusan jual beli barangan kononnya mampu memberikan keuntungan lumayan.
Katanya, mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran secara berulang, sekali gus menyebabkan kerugian kepada mereka.
Dalam operasi itu, polis turut merampas 158 telefon bimbit, enam komputer riba, enam tetikus komputer, lima router WiFi, lima skrip perbualan, 15 kad SIM, tiga unit stesen pengecas USB dan tiga penyambung wayar dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM34,500.
Mohd Alwi berkata, semua suspek direman selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pusat panggilan yang terlibat dalam penipuan atas talian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang hanya dikenali menerusi perbualan di media sosial atau platform dalam talian serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penipuan kepada balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


