Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR

KUALA LUMPUR - Kawasan hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini dipenuhi lebih 100 pelarian etnik Rohingya pada Isnin.
Kesemua mereka berada di lokasi terbabit selepas dikatakan dihalau penduduk tempatan di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.

Tinjauan Sinar Harian di hadapan pejabat UNHCR di sini mendapati kawasan berumput dan sedikit berbukit itu dijadikan tempat teduhan sementara menunggu bantuan daripada agensi terbabit.
Ada antara keluarga pelarian itu mendirikan khemah kecil, manakala anak-anak dilihat bermain di sekitar kawasan berkenaan.
Turut kelihatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat kawalan bagi memantau ketenteraman dan keselamatan di lokasi terbabit.

Difahamkan, pergerakan pelarian berkenaan dari Pulau Pinang hingga ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur turut dipantau polis bagi memastikan keselamatan mereka dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Seorang pelarian Rohingya, Hamid Hussein, 40, berkata, seramai 126 etnik Rohingya tiba di lokasi itu dengan menaiki tiga bas selepas dihalau dari perkampungan berkenaan.
Menurutnya, mereka sebelum ini diberi tempoh sebulan untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
"Dalam sebulan itu kami cuba cari rumah tapi tak jumpa, bila tamat tempoh (sebulan) kami semua kena keluar.
"Semalam petang (Ahad) kami dihalau...kami terus cari bas, sewa," kata bapa kepada empat anak berusia tujuh bulan hingga 11 tahun itu ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Sementara itu, Umar Haris, 33, berkata, dia sudah menetap di perkampungan berkenaan kira-kira 15 tahun dan kini mempunyai tiga anak.
Katanya, dia bersyukur duduk di Malaysia kerana masyarakat semuanya baik.
"Kalau duduk sini Malaysia syukur banyak. Orang Malaysia baik-baik. Polis, imigresen baik. Kalau pergi luar negara tidak macam ini. Ini negara Islam mesti banyak tolong.
"Kami mahu UNHCR tolong kami cari rumah. Kami di sini pun tidak makan lagi, tiada pilihan hendak pergi mana?
"Sekarang macam mana? Kita basah pun tak apa? Kita pikir anak sahaja," katanya.

Umar yang bekerja sebagai nelayan sambilan berkata, tiga bas yang membawa mereka ke Kuala Lumpur disewa pada kadar RM2,250 sebuah menggunakan wang yang dikumpulkan sesama mereka.
Menceritakan awal pergerakan mereka, Umar berkata mereka bertolak dari perkampungan berkenaan kira-kira jam 10 malam sebelum tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 3 pagi.
"Kami semua duduk sana (Kampung Kuala Muda) sudah lama. Tak pernah buat masalah. Saya harap NGO (badan bukan kerajaan) tolong kami, ini sahaja kami mahu.
"Sebelum ini, sebulan kami cari rumah. Bila sudah jumpa dan bayar deposit, pemilik kata tak boleh sewa pada Rohingya...sampai 26 Julai (Ahad) kami semua kena keluar," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kehadiran etnik Rohingya terbabit.
"Keadaan setakat ini terkawal dan anggota polis ditempatkan di lokasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
