'Usahawan F&B jangan takut tembusi pusat beli-belah elit' - Muhammad Nasir

Muhammad Nasir (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Warung Jendela Kaseh sambil diperhatikan Wan Rafidah di Worldwide Business Park, Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.
Muhammad Nasir (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Warung Jendela Kaseh sambil diperhatikan Wan Rafidah di Worldwide Business Park, Seksyen 13, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan makanan dan minuman (F&B) tempatan perlu berani mengembangkan perniagaan ke pusat beli-belah berprestij seperti Tun Razak Exchange (TRX) dan KLCC.

Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ramai pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai produk berkualiti, namun masih kurang yakin untuk menembusi pasaran premium kerana bimbang dengan kos sewa tinggi.

Menurut beliau, produk berkualiti dan mempunyai persembahan menarik sebenarnya mampu dijual pada harga lebih tinggi serta menarik pelanggan daripada pelbagai lapisan.

"Paling penting kualiti makanan, jika (makanan) yang dijual itu baik dan sedap, pelanggan akan datang semula.

"Ramai pengusaha PKS takut hendak masuk ke pusat beli-belah besar kerana sewa mahal, tetapi syarikat yang sudah kukuh tidak takut kerana mereka tahu produk yang dipersembahkan dengan baik mempunyai nilai dan boleh dijual pada harga premium," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Warung Jendela Kaseh di Worldwide Business Park, Seksyen 13 di sini pada Isnin.

Muhammad Nasir menyampaikan ucapan sempena perasmian Warung Jendela Kaseh.
Muhammad Nasir menyampaikan ucapan sempena perasmian Warung Jendela Kaseh.

Muhammad Nasir berkata, usahawan tempatan juga perlu berani melangkah lebih jauh dan tidak hanya bergantung kepada jualan di media sosial semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejayaan pempengaruh seperti Khairul Aming membuktikan usahawan mampu mengembangkan jenama sehingga memiliki rangkaian restoran dan perniagaan lebih besar.

"Kita mahu lebih ramai usahawan seperti itu. Jangan sekadar berjaya menjual di TikTok, tetapi bina jenama yang mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan pembiayaan mudah dengan kadar faedah rendah bagi membantu usahawan menyewa premis di lokasi strategik sekali gus mengembangkan perniagaan.

"Ramai usahawan mahu berkembang tetapi kekangan modal membataskan mereka, namun jika ada pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah, mereka lebih berani mengambil peluang untuk meluaskan perniagaan," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia perlu memperkasa identiti makanan tradisional setiap negeri dengan membuka lebih banyak restoran yang mengetengahkan hidangan asli tempatan sekali gus memperkenalkan warisan kulinari negara kepada pelancong dan masyarakat.

Sementara itu, Pengasas Warung Jendela Kaseh, Wan Rafidah Wan Ali berkata, meskipun baru beroperasi sejak 1 Jun lalu, pihaknya merancang mengembangkan jenama itu ke pusat beli-belah sebagai langkah membawa makanan tradisional ke pasaran lebih luas.

Katanya, Warung Jendela Kaseh yang dibangunkan dengan pelaburan kira-kira RM150,000 itu menjadi platform mengetengahkan hidangan kampung kepada masyarakat bandar.

"Memang perancangan kami selepas ini adalah untuk masuk ke pusat beli-belah. Pada mulanya orang kata nama 'warung' tidak sesuai kalau masuk pusat beli-belah, tetapi bagi saya kenapa tidak? Yang penting ialah kualiti dan identiti jenama itu sendiri.

"Kalau diberi peluang, memang kami mahu bawa Warung Jendela Kaseh ke pusat beli-belah seperti TRX," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Rafidah berkata, idea membuka warung itu tercetus bagi memenuhi keperluan menyediakan makanan tradisional yang bersih, halal dan berkualiti kepada peserta program tuisyen pendidikan kanak-kanak di bawah Fly High Education Centre serta ibu bapa yang menunggu anak mereka mengikuti kelas.

Menurutnya, ramai kakitangan dan ibu bapa menyuarakan hasrat mendapatkan makanan kampung yang semakin sukar ditemui di sekitar Shah Alam.

"Kami mahu menyediakan makanan yang dimasak penuh kasih sayang seperti di kampung kerana hidangan seperti itu semakin sukar ditemui di bandar," jelas beliau.

Beliau berkata, antara cabaran utama dihadapi ialah persaingan dengan restoran sedia ada selain perlu mengekalkan harga pada kadar mampu milik walaupun kos pelaburan agak tinggi.

Katanya, kekangan parkir di kawasan premis turut menjadi cabaran, namun pihaknya bercadang membuka operasi pada hujung minggu bagi memudahkan orang ramai berkunjung.

Warung Jendela Kaseh beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 petang setiap hari kecuali Ahad kini menggaji 10 pekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!