Trend penurunan kes Covid-19 belum konsisten

Petanda awal jika mahu PKP ditamatkan adalah jika bilangan kes baharu berada di bawah 100 sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Gambar kecil: Dr Sazaly
Petanda awal jika mahu PKP ditamatkan adalah jika bilangan kes baharu berada di bawah 100 sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Gambar kecil: Dr Sazaly
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun kes positif koronavirus (Covid-19) di Malaysia tidak mencatatkan peningkatan mendadak, namun bilangan kes baharu yang direkodkan setiap hari belum menunjukkan trend penurunan secara konsisten.

Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, Malaysia berjaya mengelak peningkatan kes mendadak selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, jumlah kes yang dilaporkan setiap hari masih pada kadar naik dan turun.

“Petanda awal jika mahu PKP ditamatkan adalah jika bilangan kes baharu berada di bawah 100 sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

“PKP ketika ini bukan untuk menghapus jangkitan tetapi untuk mengurangkan jumlah pesakit dijangkiti ke hospital secara beramai-ramai.

“Kita sekarang ini hidup dalam norma baharu di mana Covid-19 akan kekal bersama kita seperti denggi. Selagi kita tidak temui cara terbaik merawat pesakit, kita tidak boleh lagi berhimpun beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 165 bertajuk Covid-19: Bila Malaysia Akan Pulih? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri, Azlan Shah, Dr Anjas Asmara dan Dr Sazaly pada program Wacana Sinar Harian Siri 165 bertajuk Covid-19: Bila Malaysia Akan Pulih? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.
Dari kiri, Azlan Shah, Dr Anjas Asmara dan Dr Sazaly pada program Wacana Sinar Harian Siri 165 bertajuk Covid-19: Bila Malaysia Akan Pulih? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Selain Dr Sazaly, wacana tersebut turut menampilkan Timbalan Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin sebagai panelis, manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Sementara itu, ditanya mengenai keupayaan virus Covid-19 bermutasi, Dr Sazaly berkata, perkara itu tidak mustahil boleh berlaku kerana Covid-19 adalah sama seperti virus lain dalam kumpulan genom yang sentiasa berubah.

Namun, katanya, kajian terhadap virus sebelum ini mendapati virus yang melalui fasa mutasi dan evolusi akan menjadi kurang berupaya menyebabkan jangkitan lebih serius.

“Ia tidak menguntungkan virus tersebut sekiranya perumah iaitu manusia mati, virus itu juga akan mati bersama.

“Kebanyakan wabak sebelum ini hanya peringkat awal jangkitan adalah serius tetapi selepas berpuluh tahun, virus itu akan lenyap atau hidup dalam badan manusia tanpa jangkitan serius.

Berhubung dakwaan virus Covid-19 boleh hidup pada barangan pos laju atau wang kertas, Dr Sazaly berkata, virus itu mempunyai satu selaput membran sangat nipis yang mudah mati sekiranya terkena panas cahaya matahari dan kering.

Justeru, beliau mencadangkan kepada orang ramai supaya menjemur barangan tersebut di bawah cahaya matahari selama satu jam, selain menyembur air sabun.

Aktiviti sosial

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan tiada kajian yang membuktikan lelaki lebih berisiko dijangkiti Covid-19 berbanding wanita.

Mengambil contoh di Taiwan, katanya, kes jangkitan melibatkan golongan lelaki lebih rendah daripada wanita.

“Tetapi di Malaysia lelaki lebih ramai berkemungkinan kerana lelaki di Malaysia lebih banyak melakukan aktiviti sosial. Covid-19 adalah penyakit yang menular secara sosial.

Dr Sazaly berkata, vaksin merupakan rawatan jangka panjang, namun pembangunan vaksin mengambil masa yang lama, malah denggi yang wujud sejak 100 tahun lalu juga masih belum mempunyai vaksin sehingga kini.

Bagi rawatan jangka pendek, katanya, pembangunan ubat untuk merawat perlu segera dilakukan di Malaysia.

“Sekuriti kesihatan penting. Ketika ini, Malaysia masih mengimport 100 peratus vaksin kerana kita tidak mempunyai kemampuan membangun dan mengilangkan vaksin sendiri.

“Bila terdedah kepada Covid-19, kita terperangkap kerana tiada kesiapsiagaan menyeluruh sehingga terpaksa jalani PKP.

“Impak kepada ekonomi yang tinggi adalah harga yang kita kena bayar kerana kegaga-lan menghadapi wabak seperti sekarang,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada jumlah pesakit yang pulih daripada Covid-19 terdiri daripada mereka yang mempunyai daya tahan badan tinggi.

Ketika ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang mendakwa Covid-19 adalah virus ciptaan dari makmal, Dr Sazaly berkata, mencipta sesuatu hidupan baharu seperti virus bukan mudah walaupun memiliki peralatan canggih dan pengetahuan ilmu genetik.

“Bukan semudah itu bina virus baharu. Itu seperti cerita dalam sains fiksyen,” katanya.