Misi Kashfi Zulkufli bina legasi

Kashfi bersama model yang memperagakan koleksi terbaharu rekaannya.
Kashfi bersama model yang memperagakan koleksi terbaharu rekaannya.
A
A
A

SELEPAS 14 tahun membina jenama, Kashfi Zulkufli kini bukan lagi sekadar menghasilkan busana eksklusif, sebaliknya memberi fokus untuk membentuk legasi perniagaan yang mampu terus berkembang dan kekal relevan sepanjang zaman.

Melalui fasa baharu tersebut, Kashfi Zulkufli dibentuk sebagai sebuah jenama yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada figura pengasas, sebaliknya diperkukuh dengan identiti, nilai dan hala tuju tersendiri seiring perubahan landskap industri kreatif dan ekonomi moden yang semakin dinamik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kashfi Zulkufli Holdings Sdn Bhd, Mohamad Kashfi Mohd Zulkufli berkata, perjalanan lebih sedekad menyaksikan ramai insan yang terus berdiri teguh untuk melihat Kashfi Zulkufli kekal.

Justeru, sebagai peneraju, beliau melihat ia sebagai satu tanggungjawab dalam memastikan jenama yang dibina terus menjadi legasi tidak mati.

"Mencipta jenama ini bukan hanya ketika pereka itu masih hidup sahaja. Seperti mana orang mengingati jenama-jenama besar, mereka kekal kerana legasinya dicipta dengan jiwa yang besar dan impak yang besar.

"Saya tidak mahu dilabelkan sebagai pereka yang hanya mereka baju. Saya mahu meneruskan legasi ini supaya jenama ini diingati dengan satu penceritaan.

"Saya mahu satu hari nanti, sekiranya legasi ini disambung oleh sesiapa, saya mahu Kashfi Zulkufli ini dibina dan dicipta dengan perasaan yang ikhlas, jiwa yang betul dan kebahagiaan yang boleh dikongsi dengan semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Bisnes selepas mempersembahkan koleksi terbaharunya SATU LEGASI di The Kuala Lumpur Men's Fashion Week (TKLMFW) 2026 di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Kashfi
Kashfi

Perjalanan kreatif

SATU LEGASI merupakan sebuah produksi fesyen teater yang dipersembahkan sempena meraikan lebih 14 tahun perjalanan kreatif serta sumbangan Kashfi dalam industri fesyen.

Setiap koleksi yang dipersembahkan dalam SATU LEGASI mewakili satu babak dalam perjalanan Kashfi sebagai pereka.

Inspirasinya berakar daripada warisan budaya Malaysia, namun diperkaya dengan sentuhan reka bentuk kontemporari serta kemahiran pertukangan yang halus.

Lebih daripada sekadar meraikan kejayaan peribadi, SATU LEGASI mencerminkan aspirasi yang lebih besar iaitu mengangkat martabat fesyen couture Malaysia melalui inovasi, keaslian dan kecemerlangan seni.

Melalui gabungan unik antara persembahan teater dan pementasan couture, SATU LEGASI tampil sebagai simbol ketahanan, kreativiti dan legasi.

Fesyen teater 'SATU LEGASI' turut menampilkan model terkenal, Zahnita Wilson yang menjadi simbolik perjalanan Kashfi Zulkufli selama 14 tahun dalam industri
Fesyen teater 'SATU LEGASI' turut menampilkan model terkenal, Zahnita Wilson yang menjadi simbolik perjalanan Kashfi Zulkufli selama 14 tahun dalam industri

Menurut Kashfi, persembahan bertemakan 'Satu Pentas. Satu Rasa. Satu Legasi' itu bukan sekadar memperkenalkan 28 koleksi baharu pakaian lelaki, sebaliknya menjadi medium menceritakan perjalanan membina sebuah jenama yang lahir daripada pengorbanan, keikhlasan dan sokongan pasukan sepanjang karier seninya.

"Saya mengaku, Kashfi Zulkufli itu bukan saya. Saya ialah Mohamad Kashfi yang mewarnai Kashfi Zulkufli.

"Kashfi Zulkufli itu ialah mereka, jiwa-jiwa yang berada di dalam Kashfi Zulkufli dan bersama-sama saya.

"Itulah sebabnya pada pementasan saya membawa keluar semua mereka yang selama ini menggalas tanggungjawab dan beban dalam setiap persembahan serta setiap pembentangan saya," katanya.

'SATU LEGASI' fesyen teater yang dipersembahkan sempena meraikan lebih 14 tahun perjalanan kreatif serta sumbangan Kashfi dalam industri fesyen.
'SATU LEGASI' fesyen teater yang dipersembahkan sempena meraikan lebih 14 tahun perjalanan kreatif serta sumbangan Kashfi dalam industri fesyen.

Dalam pada itu, seiring misi menghidupkan legasi, Kashfi turut melihat jenamanya sebagai platform membuka peluang kepada pereka muda.

Beliau tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti lebih ramai pereka dapat berkarya di bawah bumbung akademik Kashfi Zulkufli.

"Buat masa sekarang memang ada terlintas, tetapi masih belum secara nyata.

"Kalau di bawah bumbung Kashfi Zulkufli itu peluang pekerjaan boleh diberikan dan memberi peluang kepada pereka-pereka baharu untuk berkarya, why not?," katanya.

Dalam masa sama, Kashfi memaklumkan beliau sedang merancang pengembangan operasi ke Singapura, Johor Bahru dan Brunei.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!