Kembali bertemu selepas 33 tahun

SHAH ALAM – Seramai 160 alumni Sekolah Menengah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SMSSAAS) Batch 1993 menghadiri Majlis Reunion Dinner yang diadakan di Dewan Seri Hatinie Glassview, Bangunan Kumpulan Muara, Seksyen 14, di sini baru-baru ini.
Pertemuan itu diadakan selepas 33 tahun meninggalkan alam persekolahan, sekali gus menjadi medan mengeratkan kembali silaturahim serta mengimbau kenangan yang terjalin sejak di bangku sekolah.
Majlis berkenaan turut meraikan majoriti alumni yang kini mencecah usia 50 tahun dengan menghimpunkan bekas pelajar pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India.
Bertemakan 'Klasik Tradisional – Klasik Itu Kita', para alumni tampil anggun dan segak mengenakan busana tradisional seperti baju kurung, kebaya, baju Melayu dan pakaian warisan lain yang menyerlahkan keunikan budaya serta menghidupkan suasana nostalgia.
Reunion tersebut dianjurkan oleh 11 Ahli Jawatankuasa yang diketuai oleh Muhamad Radzi B. Abd. Hamid bersama Wan Nor Hatinie, Sophina, Norazlina, Tunku Nurkartini, Norhafizah, Ami Zizalina, Zaini, Nornikman, Shahida dan Aida Marina.

Menurut Ketua Jawatankuasa Penganjur, Muhamad Radzi, reunion itu dianjurkan bagi mengukuhkan semula silaturahim selain memberi peluang kepada alumni bertemu selepas masing-masing membawa haluan kerjaya dan kehidupan.
"Walaupun sudah lebih tiga dekad berpisah, hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan masih kekal utuh. Reunion ini menjadi platform untuk mengeratkan semula hubungan serta mencipta kenangan baharu bersama," katanya.
Antara keunikan majlis ialah pemberian kad Touch 'n Go edisi khas SMSSAAS Batch 1993 sebagai cenderahati eksklusif kepada setiap alumni.
Kad tersebut merupakan hasil idea kreatif dan kerjasama 11 ahli jawatankuasa yang menjayakan penganjuran reunion itu.

Lebih membanggakan, keseluruhan majlis berjaya dirancang dan dilaksanakan dalam tempoh kurang dua bulan hasil komitmen serta semangat kerja berpasukan semua ahli jawatankuasa yang mengurus pelbagai aspek termasuk penajaan, promosi, pendaftaran dan perjalanan majlis.
Sepanjang majlis berlangsung, suasana dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi mengimbau kenangan, bergambar dan berkongsi perkembangan kehidupan masing-masing.
Penganjur berharap reunion seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan ikatan persahabatan yang terbina sejak zaman persekolahan terus kekal erat serta menjadi bukti bahawa nilai perpaduan dan ukhuwah mampu merentasi masa, usia dan latar belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
