'Jangan khianati amanah' - Ayob Khan

KUALA LUMPUR - Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak sesekali mengkhianati amanah dengan terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa sepanjang menjalankan tanggungjawab.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, pangkat dan kuasa yang diberikan bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti.
"Jangan sesekali menggunakan kuasa untuk kepentingan diri. Gunakanlah amanah dengan penuh integriti, berlaku adil kepada semua tanpa mengira kedudukan, kaum atau agama.
"Ingatlah, manusia mungkin tidak melihat setiap tindakan kita, tetapi ALLAH SWT sentiasa melihat," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara pada Ahad.
Terdahulu, Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa pada Ahad.
Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan warga Sang Saka Biru supaya tidak bimbang mengenai soal rezeki apabila berpegang teguh kepada prinsip dan kebenaran.
Beliau berkata, kejayaan yang dikecapinya sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam PDRM bukan disebabkan latar belakang keluarga atau hubungan dengan mana-mana pihak, sebaliknya hasil usaha, doa serta ketentuan ALLAH SWT.
"Saya datang daripada keluarga yang sederhana. Apa yang membawa saya ke tahap ini ialah kerja keras, doa ibu bapa dan rezeki yang ditentukan ALLAH SWT.
"Manusia boleh merancang dan berusaha, namun ALLAH SWT yang menentukan segala-galanya. Sebab itu jangan sesekali takut soal rezeki apabila kita mempertahankan perkara yang benar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
