Ayob Khan bersara wajib, Pengarah Cawangan Khas pangku jawatan Timbalan KPN

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa pada Ahad.
Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib bermula Isnin selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan keramat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Ayob Khan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang ketika itu dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negara.
Ayob Khan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Beliau mula menjalani latihan (bersama PDRM) pada 1991 dan memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.
Ayob Khan mula dikenali ketika berkhidmat di Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dari tahun 2013 hingga 2019.
Beliau mengetuai pelbagai operasi penting, termasuk menggagalkan puluhan rancangan serangan militan dan menyiasat kes-kes berprofil tinggi seperti Daesh dan Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Pada 2020 beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.
Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sebelum bertukar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
